‘Tak terkesan, sebab memang bukan ketiak saya’

KECOH dunia seni tanah air apabila isu bau badan pelakon mula menjadi bualan hangat hingga menimbulkan rasa kurang senang rakan industri.

Segalanya tercetus apabila pelakon jelita, Harissa Adlynn, secara terbuka meluahkan ketidakselesaan bergandingan dengan seorang pelakon lelaki yang dikatakan memiliki bau tubuh kurang menyenangkan.

Ekoran pendedahan itu, beberapa nama artis mula disebut-sebut netizen, termasuk pelakon kacak, Daniel Fong.

Namun, seperti pepatah lama, ‘diam bukan bermakna kalah’, jejaka tampan itu tampil menyambut isu tersebut dengan hati yang lapang, memilih untuk melihat sisi positif daripada kecoh yang melanda.

Tidak melatah, pemilik nama sebenar Daniel Fong Weng Chuan itu menegaskan dia yakin kenyataan Harissa itu bukan ditujukan kepadanya. 

Tambahnya lagi, sepanjang karier, belum pernah dia menerima sebarang teguran atau aduan tentang masalah bau badan, sama ada daripada rakan rapat mahupun bekas kekasih.

“Saya tidak terkesan kerana tahu itu bukan saya. Kalau betul, mungkin bekas kekasih sudah menegur. Setakat ini tiada sesiapa pun cakap begitu.

“Tapi saya tidak menolak kemungkinan satu hari nanti masalah itu boleh berlaku, sebab kita tak tahu bila tubuh akan berubah,” katanya kepada HibGlam.

Menurut jejaka berusia 32 tahun itu, masalah bau badan bukan perkara asing bagi pelakon, terutama ketika melalui tempoh penggambaran panjang yang memerlukan tenaga dan komitmen tinggi.

‘Wardrobe tak dicuci’

Jelasnya, meskipun seseorang menjaga kebersihan diri, faktor pakaian produksi yang tidak berbasuh boleh menjadi punca utama bau badan di lokasi.

“Dalam set penggambaran, saya faham. Bukan sebab kita mahu berbau busuk, tetapi jadual kerja dari pagi sampai malam memang meletihkan.

Boleh jadi juga pakaian disediakan bahagian wardrobe tidak dicuci, digunakan berulang kali. Tidak kira wangi macam mana pun, kalau baju dipakai lebih 10 kali tanpa dicuci, tetap akan berbau,” ujarnya.

Sejak isu ini menjadi bualan panas, pelakon berbangsa Cina itu mengakui dia kini lebih berhati-hati dalam penjagaan diri. 

Tegasnya, dia seorang yang sangat menjaga kebersihan dan mandi sekurang-kurangnya dua kali sehari, terutama selepas bersenam.

“Saya mandi siang dan malam. Selepas isu ini timbul, saya lebihkan penggunaan minyak wangi dan deodoran.

“Ada ketika, kalau ketiak terasa lembap sedikit pun saya akan segera sapu deodoran secara spontan,” kongsinya sambil tersenyum.

Mengulas lanjut, pelakon Kerana Seorang Lelaki itu tidak melihat tuduhan itu sebagai sesuatu memalukan, sebaliknya menganggapnya sebahagian daripada warna-warni dunia hiburan walaupun isu berkenaan melibatkan hal peribadi.

“Saya okey sahaja, walaupun viral itu publisiti, baik atau buruk. Cuma untuk lelaki, isu ketiak ini agak segan sedikit.

Tapi saya ambil mudah, malah keluarkan satu posting yang sudah lama ada dalam draf, buat lawak dengan hashtag ‘pakai deodoran’. Tak sangka ia jadi tular.

“Sekarang saya memang tidak berbau, tapi masa depan kita tak tahu. Semua orang akan berusia dan badan boleh berubah,” jelasnya.

Sebelum ini, Harissa pernah mengakui terpaksa menahan nafas di lokasi penggambaran kerana bau badan hero gandingannya. Katanya, dia turut memberi bayangan secara halus mengenai penggunaan minyak wangi sebagai teguran lembut.

Pendedahan itu mencetuskan spekulasi dan perdebatan hangat di media sosial, namun bagi Daniel, tuduhan itu tidak merencatkan langkahnya dalam industri seni.

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok