‘Eda Ezrin masih ada peluang, kena bersihkan nama’

PERCAYA masih ada sinar, komposer Eddie Hamid menasihatkan penyanyi wanita asal Kelantan, Eda Ezrin agar tidak berputus asa meneruskan karier nyanyian meskipun masih ditahan di Penjara Wilayah Narathiwat, Thailand.

Ujar Eddie atau nama sebenarnya Abdul Hamid Adenan, 62, Eda hanya perlu berusaha membersihkan kembali namanya demi masa depan dalam industri muzik.

“Nama sudah tidak elok, jadi bersihkan nama semula. Saya harap Eda pilih rakan yang tiada kena mengena dengan dadah.

Boleh seronok tapi berpada-pada dan beri ruang untuk bersihkan nama serta berkawan dengan manusia ‘bersih’.

“Saya yakin Eda boleh diterima balik, tapi tak pasti sama ada dia masih mahu menyanyi,” katanya kepada HibGlam.

Eddie juga tidak menolak kemungkinan pelantun lagu Bea Soba Bea itu menjadi mangsa sabotaj.

“Selama kenal, saya tak nampak Eda sebagai pengedar atau penagih. Ketika rakaman, saya boleh tahu jika seseorang itu penagih.

Saya bukan baru jadi komposer. Jadi, saya tahu selok-belok dan tak nampak Eda sebegitu. Sebab itu saya terkejut bila dia kena tangkap.

“Cuma, saya pelik juga, ada mendakwa Eda kena sabotaj dan aniaya,” luahnya pada majlis berbuka puasa anjuran Nova Music, 17 Eleven Music dan Future Music Entertainment, baru-baru ini.

Dalam nada kecewa, Eddie mengakui sudah beberapa kali berdepan situasi hampir serupa membabitkan artis di bawah bimbingannya.

Saya reda lagu baharu tak dapat dirakam. Ketika dapat tahu dia tak bersalah, saya lega, tapi kena tahan lagi sebulan. Saya rasa Eda mungkin tak mahu menyanyi lagi. Kalau ada pun, mungkin lagu ketuhan.

“Sebenarnya, saya kecewa sebab saya pernah membantu tiga penyanyi iaitu Spoon, Allahyarham Salim Iklim dan Allahyarham Achik Spin dan kali ini penyanyi Soba Bae pun turut terjebak dengan najis dadah,” tuturnya.

Sebelum ini, Eda atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, ditangkap bersama 6,059 biji pil di sebuah hotel di Sungai Golok, Thailand pada 1 November lalu.

Namun, Mahkamah Wilayah Narathiwat membebaskannya daripada pertuduhan tersebut.

Pun begitu, dia bersama suami dan empat rakan masih perlu menjalani hukuman penjara.

Keenam-enam mereka berada dalam penjara bagi tempoh sekurang-kurangnya satu hingga empat bulan lagi.- HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok