‘Kahwin nanti tak boleh duduk rumah saya, guna kereta saya’

AKUR bakal dimadukan, usahawan selebriti Nur Nilam Ortiz menetapkan beberapa syarat kepada suaminya, pelakon Azlan Komeng sebelum berkahwin lagi.

Nur Nilam berkata, syarat tersebut diletakkan memandangkan poligami bukan perkara mudah kerana menuntut suami bersikap adil sebagai ketua keluarga.

“Awak nak kahwin boleh, tiada masalah. Tapi saya letakkan syarat.

“Dah kahwin nanti tak boleh duduk rumah saya. Awak tak boleh guna kereta saya. Awak kena usaha sendiri,” katanya dalam perkongsian video di TikTok.

Wanita berusia 46 tahun itu turut memaklumkan Azlan bukan bekerja dengannya tetapi hanya dilantik sebagai duta bagi promosi produk syarikat miliknya.

Katanya, Azlanperlu melunaskan nafkah buat kedua-dua kediaman termasuk untuk dirinya selepas berkahwin lain nanti.

“Ya, Abang Lan (Azlan) hanya duta syarikat saya bukannya bekerja dengan saya.

“Lagipun, saya dah bercakap dengan dia kalau berkahwin dia kena jaga dua rumah. Rumah saya dia kena bayar, nafkah kena bagi,” kongsinya.

Luahan Nur Nilam yang juga pelakon meraih perhatian dalam media sosial bahkan ramai menyokong tindakannya mendapatkan hak sebagai isteri.

Menerusi hantaran lain, dia mengakui sudah bertemu bakal madu seterusnya memberi keizinan suami berkahwin lagi, sekali gus menafikan pendedahan dilakukan hanya untuk kandungan media sosial.

“Ya betul, Azlan akan berkahwin lagi dan saya sudah bagi ‘green light’ sebab dia nak, saya nak buat macam mana.

Semua orang cakap sekadar konten tapi tidak. Saya sudah bertemu wanita itu minggu lalu tapi sekarang Azlan tak beri kata putus. Saya ada bertanya, dia mengelak.

“Wanita ini bertegas nak kahwin dengan Azlan. Dia mahu saya datang meminang dalam bulan puasa dan bernikah Aidilfitri ini. Azlan belum beri kata putus. Kalau Azlan setuju, saya pergi meminang tapi hari nikah saya tiadalah,” kongsinya.

Pada masa sama ramai menzahirkan rasa simpati terhadapnya apabila berasakan Azlan mengkhianati pengorbanan dilakukan ketika aktor terbabit hampir lumpuh akibat kemalangan.

“Bila dah sihat macam-macam pula perangai. Ingat sikit jasa isteri,” tulis seorang netizen.

Kecewa dan sakit hati. Isteri itulah yang ‘struggle’ jaga dia siang malam ketika sakit,” kata pengikutnya.

Beberapa hari lalu Nur Nilam memberi bayangan bakal dimadukan dengan mendakwa suaminya kini dalam perancangan untuk berpoligami.

Susulan pendedahan tersebut, ramai meluahkan simpati terhadapnya yang setia di sisi Azlan ketika pelakon itu hampir lumpuh dan perlu diuruskan sepenuh masa akibat kemalangan pada 12 Oktober tahun lalu.

Sepanjang tempoh suami terlantar dia yang berusaha mencari rezeki buat keluarga sehingga aktor terbabit kembali sihat dan mampu berjalan semula. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok