Tiada kompromi jenaka ‘ham’, Jakim panggil Harith Iskander

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memanggil pelawak Harith Iskander bagi mendapatkan penjelasan berhubung hantaran dalam media sosialnya yang didakwa terbuka mempersendakan agama Islam.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan perkara seumpama itu apabila turut membuat laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan lanjut selepas isu berkenaan mencetuskan keresahan ramai.

Semua pihak diminta bertenang dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan Jakim tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang tindakan yang mempersendakan ajaran Islam serta menyinggung sensitiviti.

“Diharapkan semua pihak dapat mengamalkan sikap hormat dan bertoleransi dalam kehidupan bermasyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata Sirajuddin, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaan negara harus dihormati semua pihak.

Ini bukanlah alasan untuk orang ramai tidak menjalani kehidupan yang harmoni dalam situasi masyarakat berbilang kaum dan agama,” ujarnya.

Menurutnya lagi, Jakim turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyekat akaun dan menurunkan kandungan berkenaan.

Sebelum itu, hantaran dalam Facebook dipercayai dimuat naik pelawak berusia 54 tahun pada Ahad lalu memaparkan menu kedai kopi dengan item bernama ‘Ham Sap Kopi’.

Harith dikatakan secara sarkastik menyentuh isu ‘ham’ yang menjadi kontroversi sebelum itu apabila kedai rangkaian serbaneka menjual sandwich ham tanpa sijil halal sah di sebuah pusat pengajian tinggi.

“Saya sangat keliru. Iman saya tergugat. Kopi ini akan membawa saya ke jalan yang salah dalam pelbagai cara.

Bukan sahaja menggoda saya untuk menjadi ‘hamsap’ tetapi juga membuat saya keliru dengan perkataan ‘ham’ dalamnya. Ini untuk minum atau makan?

“Saya perlu buat laporan polis kerana saya lemah dan hilang kemampuan menggunakan logik. Siapa lagi yang keliru,” tulisnya.

Jenaka sindirannya itu disambut pula seorang pengguna media sosial di bawah akaun Cecelia Yap Song KL yang dipercayai mengaitkan nama Nabi Muhammad.

“All names with MoHAMmad got to be renamed then,” tulis pengguna terbabit dalam ruangan komen hantaran dibuat Harith.

Rentetan itu, ramai individu serta wakil pertubuhan mengutuk tindakannya yang disifatkan biadab, malah Polis Johor  mengesahkan menerima tiga laporan polis setakat kelmarin. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok