[VIDEO] Ngeluwihi angkat budaya kebanggaan Tiara Andini

TAMPIL dengan lagu baharu berjudul Ngeluwihi, penyanyi Indonesia, Tiara Andini menyuntik kelainan apabila sekali lagi menggunakan khidmat penerbit muzik dari Korea Selatan, Hyuk Shin.

Single dengan seni kata berbahasa Inggeris diselitkan istilah Jawa tersebut menjadi pertaruhan bakat berusia 22 tahun itu untuk pembukaan 2024.

Sebelum ini, Tiara pernah berkolaborasi dengan komposer sama bagi lagu Flip It Up yang trending dalam YouTube sekitar September tahun lalu.

Sesuai dengan tajuk, perkataan ‘ngeluwihi’ diambil daripada bahasa Jawa yang membawa makna melebihi.

“Perkataan itu dipilih kerana saya ingin menonjolkan asal usul saya yang berdarah Jawa ke dalam karya ini.

“Walaupun sebahagian besar lirik dalam bahasa Inggeris, seni kata lagu berpaksikan elemen Jawa menambah keunikan dendangan tersebut,” katanya.

Tradisi Jawa

Menurut penyanyi yang dicungkil menerusi program Indonesian Idol musim ke-10 itu, bagi mengukuhkan nuansa Jawa dalam gambar promosi Ngeluwihi, dia mendapatkan bantuan pereka fesyen handalan.

Tiara menggayakan persalinan tradisional masyarakat Jawa hasil kolaborasi antara Jember Fashion Carnaval dengan sentuhan Bubah Alfian selain Lisa Ju, Atara Batik dan Torenda Indonesia.

SEKALI lagi Tiara menggunakan khidmat penerbit muzik dari Korea Selatan, Hyuk Shin bagi penerbitan single terbaru, Ngeluwihi.

Duo pereka fesyen ByAnsoe juga turut menyumbangkan idea bagi pakaian yang dikenakan dalam video muzik, manakala pengarah fesyen untuk keseluruhan promosi menggunakan khidmat Rikki Simanjuntak.

Kata pemilik nama lengkap Tiara Anugrah Eka Setyo Andini itu, tradisi masyarakat Jawa yang dibanggakan mahu dikongsikan dengan peminat.

Saya ingin membawa tradisi di mana saya dilahirkan iaitu budaya Jawa ke depan dan ternyata setelah dicuba hasilnya sangat memuaskan.

“Bukan hanya lagu, malah semua hasil produksi yang berkaitan budaya kebanggaan saya melebihi jangkaan sebelumnya,” ulas penerima trofi Artis Baharu Terbaik dalam Anugerah Muzik Indonesia ke-25 itu.

Versi lebih baik

Ngeluwihi menceritakan seseorang yang diremehkan individu lain, namun akhirnya bangkit membuktikan kemampuan diri dengan menjadi versi lebih baik.

Lagu berkenaan juga menyaksikan penyatuan nuansa muzik K-pop yang lebih agresif dan rancak menerusi gabungan hip-hop, rap, R&B serta pop.

Bahkan adunan melodi bersama lirik memukau itu bertambah indah dengan kemampuan kualiti vokal Tiara yang hebat.

Video muzik yang dilatari tarian bersama ‘gunungan’ atau ‘kayon’ dalam wayang kulit melambangkan ketenangan kehidupan manusia.

Harapannya, Ngeluwihi dapat dinikmati pendengar di luar Indonesia supaya sama-sama dapat mengetahui keistimewaan budaya Jawa.

“Semoga makna lagu ini juga bisa menjadi motivasi bagi banyak orang untuk selalu menjadi versi lebih baik dari diri mereka,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok