18 hari di hospital, Zara Zya dah buang cyst, fibroid

SELEPAS 18 hari ‘berkampung’ di hospital bagi membuang cyst dan fibroid, pelakon Zara Zya dibenarkan pulang dan berehat di rumah.

Perkara tersebut disahkan pengurusnya, Jamal Salleih yang memaklumkan Zara atau nama lengkapnya Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, 39, lebih ceria selepas pulang dari hospital.

Ya, dia sudah dibenarkan balik ke rumah sekitar tengah hari semalam bersama mama dan kakaknya.

“Doktor pun nasihatkan untuk rehat sepanjang proses pemulihan. Ibunya akan jaga dia selain kakaknya yang tinggal berdekatan boleh memantau keadaannya setiap hari.

Selepas balik ke rumah, barulah saya nampak dia ceria sedikit sebab rindukan kucing selama berada di hospital sehinggakan tiap hari ‘video call’ bersama kucing,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.

Selain itu, Jamal turut memberitahu Zara terpaksa berehat kira-kira dua bulan sehingga badannya bersedia untuk kembali bekerja semula.

Dia baru lepas pembedahan jadi perlu berehat lebih kurang satu atau dua bulan untuk biar luka betul-betul sembuh.

“Buat masa sekarang saya terpaksa batalkan semua tawaran kerjanya kerana bimbang dia bergerak banyak.

Doktor pun ada cakap sekarang musim sakit, jadi tidak mahu ada jangkitan lain dari luar dan lebih baik berehat lama,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, pelakon drama Love You Mr. Arrogant itu menjalani pembedahan membuang beberapa ketumbuhan serta rawatan bagi dua sindrom yang dihidapi iaitu Cervical Facet dan Lumbar Facet Syndrome pada 31 Mei lalu – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok