‘Tiada rezeki bekerjasama, Barbarik letak harga tinggi’

DEMI mengeratkan silaturahim , Vokalis Wings, Datuk Awie ada mempelawa kumpulan Barbarik yang diketuai oleh bekas ahli Wings, JoBranko untuk terbabit dalam Rock Warrior Music Festival (RWMF) yang dianjurkan di bawah syarikat Rumah Produksi Merah.

Menurut Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 55, tawaran untuk terbabit dalam festival yang akan berlangsung pada 23 dan 24 November depan itu diajukan oleh rakan kongsinya iaitu Datuk Eddy Amir Salim, namun tidak menjadi kenyataan apabila JoBranko yang juga bekas pemain gitar Wings itu didakwa meletakkan harga yang tinggi.

“Untuk kumpulan baharu seperti mereka meletakkan harga yang tinggi, saya rasa tidak sepatutnya. Antara artis-artis yang terlibat dalam RWMF ini semuanya ‘otai-otai’ dalam industri yang sudah lama membina nama dan berjuang sebagai kumpulan rock.

Sewaktu kita tawarkan peluang ini kepada mereka (Barbarik), niat di hati adalah untuk bersilaturahim seperti mana kita tawarkan kepada artis-artis lain. Datang buat sidang media bersama, berkumpul sebagai satu keluarga dan lakukan promosi bersama.

“Itu adalah hukum dalam silaturahim. Saling tolong menolong. Kalau tak boleh bertolak ansur dan bertoleransi maknanya dia menolak hukum silaturahim. Jadi tak mengapalah,” katanya ketika ditemui pada sidang media RWMF, di sini, kelmarin.

Sementara itu Eddy berkata, idea untuk membawa Barbarik turut serta dalam RMWF diusulkannya kepada Awie dan idea itu dipersetujui, namun perkara itu tidak menjadi kenyataan.

Sebagai orang yang berniaga, kata Awie dia tiada masalah untuk bekerjasama dengan Barbarik.

“Pihak Rumah Produksi Merah telah cuba berhubung dengan Barbarik.

Apa yang saya boleh katakan, mungkin tiada rezeki untuk kami bekerjasama pada tahun ini,” kongsinya.

Antara artis yang akan terlibat dalam festival yang akan berlangsung di KL Base, Sungai Besi ini ialah XPDC, Search (Kiddin), May, Spider, Pop Shuvit, A.C.A.B, Ella dan Wings.

Pihak produksi Rumah Merah juga akan cuba untuk membawa legenda muzik rock yang berasal dari Singapura iaitu Datuk Ramli Sarip yang disifatkan Awie sebagai Papa Rock wajib ada dalam festival ini.

Terdahulu, krisis dalam yang berlaku antara Awie dan JoBranko menyaksikan pemain gitar itu tidak lagi bersama Wings sejak Ogos 2016.

Krisis itu tercetus berikutan dakwaan mengatakan JoBranko adalah punca Wings terpaksa membatalkan Konsert 30 tahun Wings yang sepatutnya berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 24 Disember 2016.

Difahamkan permasalahan terbabit dikatakan turut berpunca daripada orang ketiga hingga merebak menjadi lebih serius.

JoBranko kemudian menubuhkan kumpulan Prime Domestic namun tidak bertahan lama dan kini menubuhkan Barbarik yang dianggotai oleh Muss (penyanyi), Rozaimie ( bass) dan Ainol (drum). – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok