Saya bayar sendiri, bukan ditaja! – Ben Amir

BERADA dalam kategori hero pilihan ramai ketika ini, Ben Amir tidak pernah gagal mempamerkan pesona sehingga setiap naskhah menjadi sebutan peminat.

Bermodalkan wajah tampan dan bebas kontroversi menjadi nilai tambah untuk terus disanjung pemuja bakatnya.

Pun begitu, dek kerana sering melancong solo ke luar negara, timbul spekulasi pemilik nama penuh Muhammad Amir Sabaruddin itu membawa diri kerana patah hati.

Terkejut dengan soalan disua penulis, jejaka berusia 34 tahun itu menggelengkan kepala seraya menegaskan dirinya acap kali ke luar negara sendirian kerana mahu bermandiri di bumi asing selain menimba pengalaman berbeza.

“Bagi saya untuk mengecap bahagia dalam hidup, kita kena gembirakan diri sendiri, tidak kisah pergi melancong sendiri atau buat perkara yang menenangkan jiwa.

“Bukan patah hati tetapi memang saya sukakan pengalaman berdikari di negara orang. Bak kata pepatah, jauh perjalanan luas pemandangan.

“Saya percaya pengalaman sebegini sangat berharga untuk diceritakan kepada anak cucu kelak, tiada istilah patah hati baru perlu pergi melancong,” tegasnya.

Bukan sahaja didakwa membawa hati yang lara, tercetus juga spekulasi kononnya pelakon drama Sweet Dreams itu kerap terbang ke sana sini kerana ditaja seseorang.

Impian Ben untuk menjayakan watak aksi akhirnya terlaksana menerusi filem Rebel: Berontak untuk Berotak.

Wajah Ben yang tadinya tenang berubah kelat menafikan segala tuduhan tersebut selain menyifatkan dakwaan tersebut tidak relevan.

“Saya pergi atas kehendak dengan duit saya sendiri, tiada istilah ditaja. Sangat tidak relevan apabila bercuti solo sahaja mesti kena guna duit orang padahal kita bekerja keras kumpul duit.

“Sebelum ini saya pernah ke Thailand, Filipina dan Vietnam. Singapura tak payah cakap, memang selalu pergi. Itu semua guna duit sendiri, bila kita melancong, sudut pandang kita akan jadi luas dan berbeza.

Selepas ini mungkin saya akan ke Costa Rica pula, banyak lagi sebenarnya negara dalam senarai yang ingin saya pergi. Kena kerja dulu kumpul duit banyak-banyak lepas tu kita melancong,” ujarnya.

Bercerita tentang perkembangan terkini, Ben rancak mempromosikan filem terbaharu berjudul REBEL: Berontak Untuk Berotak arahan sulung vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie.

Mengulas lanjut naskhah yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh tanah air pada 2 Mei nanti, Ben menggalas watak sebagai Luka.

Watak yang hidup di penempatan setinggan tu membesar dalam keadaan serba kekurangan dan dikelilingi elemen-elemen tidak sihat seperti penagihan dadah, pelacuran serta gangsterism.

Sarat babak aksi dan ganas, Ben berharap lakonannya dapat diterima ramai.

“Seperti semua tahu saya jarang bawa watak aksi, bila kali ini disuakan watak sedemikian, memang saya cuba sehabis baik supaya sampai dan berkesan ke hati penonton.

“Watak Luka itu sendiri sangat kompleks, menuntut penjiwaan penuh seorang anak muda yang ingin menegakkan keadilan namun pada masa sama tersepit dalam banyak hal.

“Jujurnya, saya dah mula jatuh cinta dengan watak aksi, kalau boleh selepas ini saya mahu berlakon genre sebegini sahaja.

“Sepanjang 10 tahun berlakon, karakter sebegini memang saya idam selama ini. Luka adalah permulaan saya untuk tampil lebih serius,” katanya.

Selain Ben, filem REBEL: Berontak Untuk Berotak turut dibintangi Datuk Awie, MK-Kclique, Syiqin Kamal, Azlan Komeng dan Fadh Majid. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok