Sayang haiwan, mereka sayang kita 10 kali ganda – Intan Najuwa

Terkesan dengan isu penderaan haiwan yang kian meruncing, pelakon Datin Intan Najuwa mengingatkan semua individu agar menjaga kebajikan makhluk ciptaan Tuhan itu dengan penuh kasih sayang.

Katanya, andai tidak lagi mampu menggalas komitmen, sebaliknya penjaga menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada pihak lain, bukan menghamburkan amarah dengan mencederakan binatang peliharaan mereka.

Tolonglah, kepada sesiapa yang bela kucing, anjing atau apa-apa binatang sekali pun, janganlah dera.

“Kalau tak nak, cari orang lain yang boleh jaga. Sedihlah begini. Binatang ini semua tak ada buat salah apa pun.

“Jagalah baik-baik. Tolong jaga mereka dengan kasih sayang. Awak sayang mereka, mereka sayang awak 10 kali ganda,” katanya dalam hantaran Instagram.

Peringatan itu dikongsikan Intan selepas tular berita mengenai seekor anjing husky yang telah diselamatkan orang awam selepas didakwa dianiaya pemiliknya.

Ujar pelakon drama Kekasih Paksa Rela itu, sebagai pencinta haiwan dia berasa terkesan membaca berita tersebut lebih-lebih lagi apabila mengenangkan haiwan kesayangannya.

Saya ada kucing dekat rumah dan ada kuda. Sayang sangat. Punya jaga macam anak. Nak jentik pun tak sampai hati.

“Apatah lagi sakitkan dan dera mereka. Baru baca berita ini. Terima kasih kepada mereka yang membantu haiwan comel ini.

“Semoga tuhan merahmati kamu semua dan lindungilah anjing husky ini walau apa cara sekali pun,” ujarnya.

Sebelum ini, tular rakaman seorang lelaki didakwa memukul haiwan peliharaannya di sebuah kondominium di Kajang, Selangor.

Video tular itu meraih perhatian netizen dan akhirnya anjing terbabit diselamatkan seorang aktivis yang membawanya ke klinik veterinar untuk dirawat.

Intan yang mempunyai beberapa ekor kuda antara selebriti yang aktif mengulas pelbagai isu semasa termasuk berkaitan hal kemasyarakatan. –  HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok