Bila mana beruk menjadi manusia, ‘kita’ jadi beruk

BERPELUANG menjejakkan kaki ke Taman Tema Genting SkyWorlds baru-baru ini merupakan satu pengalaman yang sangat menderaskan adrenalin.

Namun, apa yang lebih membuatkan penulis tertawan hati adalah apabila diberi peluang mengamati pengalaman sinematik menonton filem terbaharu 20th Century Studios, Kingdom of the Planet of the Apes di panggung IMAX Bona Cinemas, Genting Highlands.

Selepas tujuh tahun penantian, sekuel atau reboot filem Planet of the Apes kembali ‘menggoncang’ dunia manusia. Kali ini, kisah beruk itu diarahkan sutradara prolifik, Wes Ball yang terkenal dengan trilogi Maze Runner.

Apa yang menjadikan filem berkenaan ‘mahal’ adalah visual, sinematografi dan kesan bunyi yang teradun sempurna.

Terjemahan karakter utama iaitu spesies beruk seperti seperti Noa lakonan Owen Teague, Proximus Caesar (Kevin Durand) dan Raka (Peter Macon) menggunakan teknologi kesan khas yang sangat membekas dan hampir tiada cela pelaksanaannya.

MENONTON watak beruk-beruk berambisi tinggi Kingdom of the Planet of the Apes mampu menjentik hati semua bahawa adakalanya, perangai manusia juga tidak ubah seperti haiwan liar tersebut dewasa ini.

Kalau kalian menonton dari perspektif seorang manusia yang penuh ihsan atau empati, memang boleh tersentuh dengan naratif yang dipaparkan dalam Kingdom of the Planet of the Apes.

Sedikit perincian, filem kali ini membawa audiens ke zaman fiksyen masa hadapan beruk atau ape menjadi cerdik berbanding manusia dan golongan manusia hilang segala teknologi, termasuk kemampuan untuk berkomunikasi.

Berbalik tentang kualiti sekuel kali ini, penulis secara peribadi berasakan, bahagian awal sedikit perlahan sehingga membuatkan penonton terganggu konsentrasi.

Terlalu banyak masa ‘dibelanjakan’ untuk mengulang kaji keagungan pemimpin beruk agung terdahulu bernama Ceasar yang sudah tiada.

Karakter, perlahan

Hanya sesudah watak antagonis bernama Proximus Caesar diperkenalkan dan watak manusia bernama Nova/Mae menderu, perhatian audiens mula menyelinap masuk posisi selayaknya.

Sekali lagi, secara peribadinya, pendekatan pengarah atau pihak terlibat kali ini sudah agak sedikit terlambat memandangkan Kingdom of the Planet of the Apes mempunyai segala potensi untuk memancing minat serta fokal tontonan audiens.

Sinergi watak manusia bernama Mae atau Nova (tengah) dengan spesies beruk protagonis, Noa dan Raka begitu cemerlang dalam Kingdom of the Planet of the Apes.

Atas ‘kelompongan’ yang disebutkan pada perenggan terdahulu, filem kali ini sedikit kurang memberi dampak berbanding beberapa naskhah-naskhah asli Planet of the Apes terdahulu.

Menyentuh kualiti lakonan, pujian harus diberikan kepada Freya Allan yang bijak bermain emosi dan mimik muka sebagai antara manusia yang masih mempunyai ‘kecerdikan’ menentang kerajaan atau monarki beruk berambisi tinggi.

Barisan pelakon yang menjayakan karakter beruk dalam filem kali ini juga tidak kurang hebatnya, termasuklah watak tambahan seperti ibu kepada Noa, Anaya dan kekasih hati beruk pintar bernama Soona.

Menonton Kingdom of the Planet of the Apes umpamanya menjentik kesedaran dalam sanubari bahawasanya, kadang-kadang manusia pun tidak kurang perangai seperti beruk.

Makin maju teknologi, makin dangkal kebobrokan termasuk sewenang-wenangnya menganiaya sesama sendiri demi kekuasaan yang bersifat sementara. Ya, kita bercakap tentang kerasukan Zionis di bumi Gaza Palestin.

Secara keseluruhannya, Kingdom of the Planet of the Apes bukan yang terbaik, namun pada masa sama, bukan juga terburuk. Sesuai ditonton semua lapisan audiens termasuk kanak-kanak. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok