Danial, Andyoso buktikan bakat setanding rupa

Bagai cendawan tumbuh selepas hujan, begitulah pepatah untuk menggambarkan lambakan kehadiran penyanyi baharu dalam industri muzik tanah air ketika ini. 

Situasi sebegitu baik, namun dalam masa sama, agak malang jika mereka hanya berbekalkan wajah tidak seiring kualiti nyanyian.

Berbeza dengan dua penyanyi muda, Danial Kifli fan Adyoso yang mempunyai pakej lengkap saat memulakan langkah perdana mereka dalam industri muzik.

Bernaung bawah syarikat pengurusan Awal Muzik Entertainment, Danial dan Andyoso tampil dengan buah tangan baharu khas buat pemuja bakat mereka.

Danial yang terkenal menerusi lagu Pergilah Cinta selepas berjaya meraih lebih 11 juta tontonan dalam YouTube kini memperkenalkan single baharu berjudul Musnah, manakala Andyoso pula mencabar diri membawakan lagu bergenre balada bertajuk Pendamping Hidupku.

Hadir dalam industri bukan untuk main-main, baik Danial mahupun Andyoso, kedua-duanya sentiasa mencabar diri melakukan perubahan untuk memastikan kehadiran mereka terus kekal relevan dan diminati ramai.

Danial atau Muhammad Ariff Danial Kifli, 21, berkata, single Musnah adalah hadiah istimewa buat peminat setia yang sentiasa ternanti-nantikan kesinambungan lagu Pergilah Cinta yang berjaya mencetuskan fenomena sebelum ini.

Musnah adalah hasil usaha dan kerjasama saya bersama tiga lagi rakan iaitu Amir Hariz, Knight Cydeen dan Hawa Zulaikha.

“Jujurnya saya takut untuk melancarkan single ini kerana Pergilah Cinta berada pada satu tahap yang tinggi dan penerimaannya sangat luar biasa, jadi saya agak gementar untuk melihat maklum balas pendengar untuk single Musnah.

Malah jumlah tontonan untuk single ini juga mencatatkan peningkatan yang ketara. Kalau sebelum ini menerusi single Pergilah Cinta, jumlah tontonan sekitar 15,000 sehari, tapi Musnah mencecah 25,000 tontonan sehari,” ujarnya.

Sementara itu, Andyoso atau nama sebenarnya Andika Zulkefli, pula teruja apabila single keduanya berjudul Pandamping Hidupku memberi peluang baharu kepada dirinya untuk meneroka genre muzik balada.

Kata jejaka berusia 20 tahun itu, Pandamping Hidupku adalah hasil ciptaannya bersama komposer dan penulis lirik daripada Indonesia iaitu Shoga Tan dan Ujang K.

Proses rakaman lagu ini dibuat di Indonesia selama empat hari. Pendamping Hidupku berkisarkan seorang lelaki yang merayu kepada Tuhan untuk memiliki wanita yang dicintainya.

“Jika sebelum ini saya mempertaruhkan single bergenre pop menerusi lagu Setiaku 100 Peratus, tapi kali ini agak berbeza dan saya teruja untuk membawakannya.

“Walaupun genre balada masih agak baharu untuk saya, tapi saya tidak duduk diam saja sebaliknya saya mengambil kelas vokal untuk memastikan lagu ini disampaikan dengan sempurna,” katanya.

Sebagai pendatang baharu, Andyoso akui mempunyai banyak kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Saya orangnya agak pemalu tapi selepas mengambil keputusan terjun dalam bidang ni saya cuba mengubah personaliti saya.

Saya juga nak buktikan tanggapan netizen yang mendakwa saya hanya bersandarkan rupa wajah saja adalah salah. Setiap hari saya berlatih dan memasuki kelas vokal,” tuturnya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Awal Muzik Entertainment, Saidin Nordin bersyukur apabila syarikat rakaman yang ditubuhkan pada 2019 semakin diterima baik pelbagai pihak. 

“Keluarga Awal Muzik Entertainment juga sudah bertambah besar dengan menaungi lebih 10 artis baharu,” kata Saidin.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok