Bintang Korea lahir atas dulang emas

BARANGKALI ramai kagum melihat kehidupan selebriti yang serba mewah, lebih-lebih lagi bintang luar negara seperti Korea Selatan.

Mana tidaknya, satu persembahan atau episod drama dibayar sehingga ratusan ribu ringgit, itu belum termasuk deretan jenama yang menginginkan mereka sebagai duta produk dengan tawaran bayaran lumayan.

Namun, ramai juga antara selebriti sebenarnya sudah sedia ada berduit. Mereka mungkin tidak perlu berusaha keras untuk merasai gaya hidup mewah kerana memang dibesarkan dalam keluarga yang kaya.

Meskipun dilahirkan dalam keluarga yang tujuh keturunan harta tidak surut, namun mereka tetap memilih untuk menjadi sebahagian daripada penghibur dalam industri hiburan.

Kimchi Panas minggu ini menyenaraikan beberapa artis Korea Selatan yang berasal daripada keluarga kaya-raya persis peribahasa, gajah mati tulang setimbun.

Kim Tae-hee

Kim Tae-hee juga ada dalam senarai Kimchi Panas minggu ini. Aktres jelita itu merupakan salah seorang artis Korea yang lahir daripada keluarga berada.
Menurut sebuah laporan, bapa kepada wanita berusia 44 tahun itu merupakan usahawan berjaya yang memiliki perusahaan pengangkutan terbesar di Korea.
Selain kecantikannya yang memukau, latar belakang keluarga yang kaya raya membuatkan dirinya sering disebut sebagai ‘chaebol goddess’.
Latar belakang hidup Tae-hee berbeza dengan suaminya iaitu penyanyi Rain yang membesar serba kekurangan dan pernah menjadi gelandangan kerana tidak mampu membayar sewa rumah.

Park Hyung-sik

ANGGOTA kumpulan ZE iaitu Park Hyung-sik kini terkenal sebagai pelakon.
Latar belakang idola berusia 32 tahun itu bukan calang-calang, bapanya merupakan kenamaan dan individu paling berpengaruh dalam syarikat BMW di Korea Selatan
Dengan latar belakang sebegitu, tidak hairan jejaka tampan itu sentiasa tampil bergaya dan mempunyai kelas tersendiri dalam berpakaian.
Pun begitu, Hyung-sik tidak pernah meninggi diri dengan status bapanya sebaliknya sentiasa membumi dan hanya fokus pada kariernya dalam industri hiburan.

Lee Seo-jin

 

Aktor veteran, Lee Seo-jin yang terkenal sebagai pengendali pelbagai acara ‘variety show’ juga datang daripada keluarga berada yang mempunyai aset bernilai ratusan juta ringgit.
Bapanya merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LG Innotek iaitu sebuah perusahaan teknologi terkenal di Korea dan sehingga kini menjadi pemilik saham terbesar syarikat tersebut.
Meskipun boleh hidup mewah dan bersenang-lenang dengan harta keluarga, lelaki berusia 53 tahun itu tetap membangun karier sendiri dan bekerja keras untuk terkenal dalam dunia hiburan tanah air.
Sikap rendah diri dan mudah didekati membuatkan Lee Seo-jin disenangi ramai sehingga dilabel anak orang kaya paling sederhana.

Choi Si-won

 

Siapa yang tidak kenal dengan anggota kumpulan Super Junior, Choi Si-won yang sering muncul dalam pelbagai acara temu bual mahupun program aneka ragam.
Tampil dengan pakej lengkap, dia bukan sahaja terkenal kerana bakat dan ketampanannya namun khalayak juga sedia maklum dia datang daripada keluarga kaya raya.
Bapanya Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat Boryung Medicine iaitu sebuah perusahaan farmasi besar di Korea Selatan.
Selain itu, keluarganya juga memiliki beberapa hartanah mewah di Seoul dan deretan aset yang menghasilkan pulangan jutaan ringgit setiap tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok