Obses kurus, Lee Mi-joo bikin peminat risau 

HANYA makan sekali sehari, penyanyi Lee Mi-joo mengundang kerisaun peminat apabila dikatakan terlalu menyeksa diri untuk mendapatkan badan yang ideal.

Mana tidaknya, idola berusia 31 tahun itu mendedahkan dirinya hanya makan sekali sehari untuk mengekalkan berat badan.

Lebih mengejutkan apabila dia tidak mengambil makanan yang mengenyangkan sebaliknya hanya menikmati hidangan salad dan air bagi mengisi perutnya.

“Saya bangun tidur dan tidak akan makan apa-apa sehingga jam 4 petang.

“Saya hanya akan minum air dan makan salad saja pada pukul 5 petang, setiap hari,” kongsinya menerusi satu rancangan temu bual.

Rata-rata netizen meluahkan rasa bimbang terhadap kesihatan idola kesayangan mereka itu selain menganggap rutin tersebut akan memudaratkan dirinya sendiri.

“Jangan obses mahu kurus sampai tidak makan, bahaya, cantik memang sakit tapi jangan sampai kebulur,” komen seorang peminat.

“Boleh makan asalkan tidak berlebihan, jangan sampai menyeksa diri. Tidak guna badan kurus tetapi sakit pun datang,” demikian komen seorang lagi peminat. -HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok