PELAKON Bella Astillah berharap segala prosiding perceraian dengan suaminya, Aliff Aziz di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini berjalan dengan lancar.
Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 29, yang hadir ditemani adiknya, Didi Astillah dan ibunya, Siti Zarina Astillah kelihatan tenang selain meminta doa terbaik buat dirinya ketika ini.
Tunggu saya keluar nanti (dari mahkamah). Doakan saya ya.
“Doakan yang terbaik, insya-Allah,” katanya ringkas ketika tiba di pekarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi sebutan ketiga prosiding perceraian yang difailkannya terhadap suami yang juga penyanyi, Aliff Aziz, hari ini.
Sebelum ini, rumah tangga Bella dan Aliff, sekali lagi menjadi topik hangat apabila suaminya itu didakwa terbabit dalam kes khalwat bersama pelakon, Ruhanies di sebuah kondominium mewah di ibu negara pada 8 Mac lalu.
Rentetan itu, Bella nekad memfailkan perceraian terhadap Aliff di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 11 Mac lalu.
Namun, pasangan selebriti itu diperintah hadir proses Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada 4 Jun depan berikutan aktor kelahiran Singapura itu tidak bersetuju dengan permohonan cerai difailkan isteri atas alasan masih sayangkan keluarga.
Imbau semula, pada Mei 2019, pasangan terbabit pernah bercerai selepas penyanyi lagu Sayang Sayang itu curang dengan beberapa wanita berbeza namun kembali rujuk ketika dalam tempoh idah dan turut mengakui dirinya hamil anak kedua pada ketika itu.
Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata, Mohamad Ayden, 6, Adrean dan Ara Adreanna yang kini berusia tiga tahun. – HIBGLAM