Empat jejaka K-pop obses pengilat kuku

KHALAYAK maklum bahawa pewarna kuku merupakan salah satu riasan yang majoritinya digunakan wanita.

Pun begitu, ramai juga golongan lelaki terutama idola K-Pop turut menggunakan pewarna kuku ketika tampil membuat persembahan mahupun dalam gaya harian. 

Sejak itu, penggunaan beberapa riasan dan fesyen yang dahulunya hanya untuk perempuan seperti pewarna kuku, skirt, crop top sudah mula digunakan kaum Adam.

Kimchi Panas minggu ini menampilkan beberapa selebriti lelaki K-Pop yang obses menggunakan pewarna kuku sebagai salah satu elemen gaya fesyen terbaharu.

Peniel

Sejak 2021, penyanyi rap kumpulan BTOB, Peniel obses menggunakan cat kuku sebagai salah satu aksesori pelengkap gayanya.

Menariknya, idola berusia 31 tahun itu tidak hanya setia pada satu gaya sebaliknya menggunakan variasi cat kuku.

Jejaka tampan itu menggunakan pengilat kuku mengikut warna dan bentuk yang sesuai dengan penampilannya ketika itu seperti bentuk kotak, mewarnakan pada separuh kuku sahaja dan diikuti pelbagai jenis tulisan.

Gaya kukunya itu seterusnya menjadi rujukan pemuja bakatnya baik lelaki mahupun wanita yang menginginkan kuku persis idola kesayangan mereka itu.

Bobby

Anggota kumpulan iKON, Bobby juga ada dalam senarai Kimchi Panas minggu ini.

Idola berusia 28 tahun itu merupakan antara salah seorang penyanyi yang obses menggunakan pewarna kuku ketika menjayakan persembahan dan pada hari biasa.

Pun begitu, Bobby hanya memilih pewarna kuku rona hitam yang baginya mudah untuk dipadankan dengan semua pakaian.

Penggunaan pengilat kuku hitam membuatkan pelantun lagu Runaway itu kelihatan maskulin dan ‘jantan’.

Hongjoong 

Meskipun baru debut sekitar 2018, ketua kumpulan Ateez, Hongjoong mendapat perhatian kerana penggunaan pewarna kuku pada satu jari sahaja dengan menggunakan rona terang.

Lebih menarik, pewarna kuku yang selalu digunakan pada salah satu jarinya itu sebenarnya mempunyai maksud tersendiri.

Menerusi satu rancangan temu bual, idola berusia 26 tahun itu mendedahkan penggunaan pewarna kuku pada satu jari merupakan inisiatifnya sendiri untuk menyokong kempen Polished Man.

Polished Man merupakan satu kempen kesedaran tentang penderaan dan kekerasan terhadap kanak-kanak sekali gus ia merupakan sebagai  satu pesanan khidmat masyarakat.

G-Dragon

Siapa yang tidak mengenali figura bernama G-Dragon, dia antara ikon fesyen Korea Selatan sejak awal tahun 2010 ketika masih lagi aktif bersama kumpulan BigBang. 

Selain warna rambut terang, salah satu elemen fesyen yang dipopularkan pelantun lagu Crooked itu adalah penggunaan pewarna kuku yang ketika itu tidak banyak digunakan artis lelaki.

Disebabkan kuatnya pengaruh G-Dragon, mewarnakan kuku menjadi trend dalam kalangan lelaki sehingga menimbulkan pelbagai isu seperti ‘gender fluid’.

Salah satu jenis pewarna kuku yang sering digayakan jejaka bermata sepet itu adalah  PeaceMinusOne iaitu cat kuku warna-warni dengan satu warna pada setiap jari. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok