Unik! Gaun kerajang timah Michelle Yeoh jadi tumpuan

TAMPIL unik di Met Gala 2024, pelakon Hollywood asal Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh mencuri perhatian di permaidani merah acara itu apabila menggayakan gaun kerajang timah atau aluminium foil.

Akui Michelle atau Michelle Yeoh Choo Keng, 62, busana unik itu adalah ilham pereka kreatif jenama Balenciaga iaitu Demna yang diinspirasikan daripada kenangan zaman kecilnya.

Sebenarnya pakaian ini merupakan ilham Demna sendiri yang tercetus menerusi inspirasi pakaian yang pernah direka ketika masih kanak-kanak.

“Bermain dengan kerajang timah dan membuat baju untuk anak patung mainan adiknya suatu ketika dahulu kini direalisasikan sekali gus mengimbas memori silam,” katanya.

Turut meraih tumpuan adalah imej terkini pemenang Anugerah Oscar itu apabila tampak lebih muda dengan potongan rambut baharu.

Met Gala 2024 yang berlangsung di Muzium Seni Metropolitan, New York malam Isnin lalu itu mengangkat tema Sleeping Beauties: Reawakening Fashion dengan kod pakaian The Garden of Time.

Tema ini diinspirasikan daripada cerita pendek karya penulis nover tersohor, JG Ballard berjudul sama yang dihasilkan pada tahun 1962.

Majlis berprestij itu dikendalikan barisan pelakon seperti Zendaya, Jennifer Lopez, Bad Bunny serta Chris Hemsworth.

Met Gala merupakan acara tahunan yang dinantikan pencinta fesyen dengan dihadiri ramai selebriti ternama dunia.

Antaranya ialah Sarah Jessica Parker, Kylie Jenner, Rihanna, Ariana Grande, Cardi B, Gigi Hadid, Kendall Jenner, Nicole Kidman dan Doja Cat.

Tidak hanya selebriti Hollywood, tahun ini boy band Stray Kids yang berasal dari Korea Selatan turut diundang memeriahkan majlis. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok