Sebulan di Indonesia, Amir Ahnaf kekok cakap Melayu

TIDAK kekok berbahasa Indonesia menjadi kelebihan buat pelakon muda Amir Ahnaf untuk menembusi pasaran seberang.

Ingin meneroka arena perfileman di luar negara antara hasrat yang diidamkan pemilik nama sebenar Muhammad Amir Ahnaf Mohd. Khairudin itu.

Biarpun mengakui masih bertatih mencari ruang, aktor tinggi lampai itu berani menyahut cabaran untuk belajar dari bawah termasuk mendalami bahasa Indonesia.

Sebagai permulaan, Amir mengambil pendekatan belajar di jalanan iaitu mengisi masa santai dengan berinteraksi dengan warga tempatan sepanjang sebulan menjalani penggambaran sebuah filem di Indonesia.

“Filem ini memang mencabar bukan hanya disebabkan alur cerita, malah saya kena ‘ngobrol’ dalam bahasa Indonesia yang tentu sahaja mustahil dapat dilakukan seperti orang lokal.

Namun pengarah memberikan saya masa untuk belajar bercakap macam warga tempatan, jadi sepanjang tempoh itu saya banyak berbual dengan orang sekeliling termasuk pemandu Grab dan gojek.

“Hasilnya sangat membanggakan apabila pengarah serta pelakon Indonesia yang terbabit dalam filem ini melayangkan pujian,” katanya.

BERWAJAH Jawa menjadi satu kelebihan atau tuah buat Ahnaf apabila tiba-tiba diminta menggalas watak penting dalam filem Indonesia.

Cerita Amir, sepanjang penggambaran di Jakarta sekitar pertengahan tahun lalu, hanya dia dan Nora Danish merupakan pelakon dari Malaysia.

Namun babak aktres berkenaan dapat diselesaikan selama seminggu, sementelah dia perlu ada di set hampir sebulan yang memaksanya langsung tidak bercakap bahasa Melayu sepanjang tempoh itu.

Situasi itu sekali gus membuatkan perbendaharaan kata Indonesianya semakin bertambah dan lenggok perbualannya juga sudah seperti warga tempatan di sana.

Banyak kebaikan apabila kita sendirian di tempat orang kerana kita dapat biasakan diri selain perlu bergaul dengan semua orang.

“Ketika penggambaran Terkutuk, awalnya memang ada Nora Danish, tetapi dia pulang lebih awal disebabkan komitmennya sudah selesai.

Apabila saya hanya satu-satunya pelakon Malaysia di set, saya langsung tidak cakap Melayu. Itu kelebihan sebenarnya yang membolehkan saya fasih berbahasa Indonesia.

“Ketika selesai kerja dan keluar ambil angin pun orang menyangka saya asal Indonesia sebab sangat lancar. Seronok apabila misi belajar bahasa berjaya,” tambahnya.

Ujar pelakon siri High Council itu lagi, lucunya dia dikatakan pelat berbahasa Melayu hanya dalam tempoh sebulan di Indonesia.

Usai penggambaran Terkutuk di beberapa lokasi di Indonesia saya terus terbang ke Paris bagi menyempurnakan satu projek khas.

“Lucunya, pasukan yang saya bekerja itu menegur cara percakapan saya yang disifatkan sangat pelik apabila kedengaran pelat.

Walaupun berbahasa Melayu sepanjang berbual, mereka tegur lenggok saya yang didakwa berbunyi melucukan.

“Ambil masa juga untuk perbetulkan cara bercakap. Baru saya tahu kenapa orang yang lama di luar negara pelat sebab saya pun terkena sindrom sama biarpun sekejap sahaja di Indonesia,” ulasnya sambil tertawa. -HIBGLAM

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan.
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok