Penyanyi pop yeh yeh A. Halim sudah tiada

PENYANYI era 1960-an yang popular dengan lagu Salam Mesra serta Kisah Dan Tauladan, Datuk A. Halim meninggal dunia di Hospital Penawar, Pasir Gudang, Johor hari ini.

A. Halim atau nama sebenar, Halim Diah menghembus nafas terakhir pada usia 77 tahun kira-kira pukul 10.01 pagi.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Fatimah Bahrin 75, enam anak, 24 cucu dan lima cicit.

Menurut anak kelima arwah, Hafidah Halim 41, bapanya mengalami sesak nafas kerana kandungan gula dalam badan berkurangan sebelum dikejarkan ke hospital Penawar semalam.

Asal kaki papa bengkak tiga hari sebelum raya dan ada jangkitan.

“Selepas menerima rawatan di hospital papa dibawa balik ke rumah saya di Mersing sebelum dimasukkan semula ke Hospital Penawar, Pasir Gudang,” katanya kepada pemberita di sini.

Menurut Hafidah, kata terakhir sebelum di hantar ke hospital ialah ‘papa dah penat, sakit sangat’.

Sepanjang penglibatan dalam dunia seni sejak zaman bujang lagi, Allahyarham berjaya menghasilkan puluhan lagu termasuk menganggotai kumpulan kugiran, antaranya De’ Fictions, The Wanderers dan The Wisma.

Jenazah akan di bawa ke Masjid Al Falah untuk dimandi dan dikafankan serta solat jenazah sebelum di kebumikan di Perkuburan Islam Cahaya Masai, Pasir Gudang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok