Pelapis hebat dalam Memoir Seorang Guru

IMPAK kehadiran pelakon cilik dalam kerja seni memainkan peranan penting dalam kemenjadian sesebuah naskhah.

Hal ini kerana, mereka merupakan pelapis bagi memenuhi keperluan sama ada di gelanggang layar perak atau kaca televisyen.

Kebanyakan mereka sering menunjukkan bakat luar biasa dan memiliki potensi yang besar sebagai tunjang seni negara.

Sebuah filem berjudul Memoir Seorang Guru turut menampilkan beberapa pelakon cilik yang mampu menghiasi sinema tanah air.

Memoir Seorang Guru menampilkan empat pelakon cilik iaitu Kiky Hannah, Danish Zamri, Hafiy Al-Tamis dan Baqri Jamalullail yang sangat luar biasa bakat lakonan mereka.

Anna mengagumi bakat idolanya, Anna Jobling dan Fasha Sandha.

Menceburi bidang lakonan sejak tujuh tahun, Kiky Hannah antara pelapis pelakon cilik yang mula membina nama apabila bakatnya mula disiarkan menerusi beberapa naskhah tempatan.

Sejak terjebak dalam dunia industri, Kiky mengidolakan pelakon Anna Jobling dan Fasha Sandha yang dijadikan rujukan untuk lebih cemerlang.

“Saya terinspirasi daripada Anna dari segi gaya percakapan dalam lakonan ‘smooth’ (lancar) serta gaya bertutur dalam bahasa Inggeris yang lancar.

“Selain Anna, saya juga meminati Fasha Sandha. Bagi saya, dia seorang pelakon yang tegas mempunyai pendirian semasa penggambaran.

“Bahkan, dia juga seorang yang tepati waktu menyebabkan saya ingin menjadi pelakon yang berdisiplin seperti Fasha,” kongsinya.

Baqir mahu jadi sehebat Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Berbeza dengan Baqir yang sangat meminati Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, kanak-kanak itu ingin membina nama seperti legenda itu.

“Sebenarnya dua tahun kebelakangan ini, saya banyak menonton cerita P. Ramlee disebabkan pengaruh nenek saya.

“Antara naskhah P. Ramlee yang saya paling minati adalah filem Anakku Sazali kerana dapat rasa ‘feel’ (perasaan) dalam karya tersebut.

“Jadi, saya banyak belajar cara lakonan menerusi karya P. Ramlee walaupun sukar untuk lakukan,” kongsinya.

HAFIY cabar diri beraksi depan kamera demi buang rasa malu.

Sementara itu, Hafiy Al-Tamis yang terjebak dalam dunia hiburan atas saranan ibunya sejak berumur 11 tahun itu mengakui bidang lakonan dapat membuang rasa malu yang bersarang dalam diri.

“Ibu saya tidak paksa tetapi pada waktu kecil, saya selalu menonton Astro Ceria dan dari situ timbul minat untuk menceburi bidang ini.

“Sebenarnya saya masuk ke dalam bidang ini untuk membuang perasaan malu. Jadi, saya mencabar diri untuk berlakon dengan harapan dapat kikis perasaan malu itu,” jelasnya.

Danish jatuh cinta dengan dunia lakonan selepas menjayakan Salam Square. 

Dalam pada itu, rakan sekolahnya iaitu Danish Zamri memasuki bidang lakonan atas kehendak sendiri kerana minat mendalam.

“Bermula dengan Salam Square, saya berminat untuk menjadi pelakon. Dari situ, saya memberitahu ayah saya untuk tolong carikan sesi uji bakat dan dia bantu saya dapatkan kerja ini.

“Saya dulu rajin pergi ‘casting’, waktu itu lah saya berlatih berlakon di depan kamera. Setakat ini bagi saya, watak yang sukar adalah menangis dan gaduh, itu yang mencabar,” kata Danish.

Filem Memoir Seorang Guru mengisahkan seorang pendidik bernama Cikgu Sunan (Datuk Rosyam Nor) yang menentang keras anak perempuannya, Kamariah (Nabila Huda) meneruskan cita-cita menjadi guru kerana tidak mahu perkara yang membelenggu dirinya terjadi kepada puteri kesayangannya.

Menariknya, filem arahan Kyoll Hamzah itu menampilkan beberapa pelakon hebat antaranya termasuk Ellie Suriaty, Zul Huzaimy, Nabila Huda, Johan Asa’ri, dan Trisha Ooi.

Filem terbitan Tanah Merah Ventures Sdn. Bhd. dan Kamalariff Holdings Sdn. Bhd. akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 30 Mei 2024 sempena Hari Guru. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok