‘Jika Masing Masing tak layak ke AJL, saya okey’

PENYANYI Ernie Zakri berlapang dada sekiranya lagu popularnya, Masing Masing ciptaan komposer dan pemuzik Indonesia, Ade Govinda tidak layak dicalonkan untuk Anugerah Juara Lagu (AJL) akan datang.

Menerima hakikat tersebut, Ernie, 32, bagaimanapun tetap bersyukur lagu itu berjaya menawan hati ramai peminat selain membantu melonjakkan namanya di negara jiran.

AJL adalah satu acara anugerah breprestij di Malaysia. Saya tidak pernah menafikan platform tersebut batu loncatan bagi setiap penyanyi.

“Saya pernah mengimpikan untuk berada di AJL dan sudah milikinya.

Sekarang, jika tak ada juga rezeki untuk berada di AJL, tak mengapa sebab selagi orang tahu kewujudan lagu ini dan mendapat tempat di hati mereka, itu sudah cukup bermakna serta penting untuk saya,” katanya kepada HibGlam pada majlis pelancaran produk Zeleb+ NMN by Ernie Zakri di sini, semalam.

Dalam pada itu, dia menegaskan trofi anugerah bukanlah kayu pengukur kejayaannya sebagai penyanyi sebaliknya titipan penghargaan daripada peminat.

“Itu (anugerah) bukan penanda aras perjalanan karier sebab pengukur kejayaan saya adalah penghargaan daripada para peminat.

Saya selalu cakap, kehidupan dan perjalanan saya dalam dunia nyanyian ini bukan satu pertandingan sebaliknya sebuah perjalanan.

“Saya okey sahaja kalau tak menang, tidak tercalon apa-apa. Selagi peminat menghargai dan menyukai setiap karya saya, itu sudah memadai,” katanya lagi.

Terbaharu, Ernie bekerjasama dengan jenama Watsons dan produk kesihatan keluarannya itu kini turut dijual di rangkaian farmasi itu.

Ujarnya, produk tersebut dilancarkan bagi membantu menambah tenaga khusus buat individu berusia 28 tahun ke atas. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok