Eyka Farhana doa kekasih dijauhi musibah

TERKESAN dengan kes samun membabitkan kekasihnya yang juga  pemain bola sepak Akhyar Rashid, pelakon Eyka Farhana memanjatkan doa agar insan tersayang sentiasa dalam lindungan Allah.

Eyka atau nama sebenarnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, 29, turut berharap agar segala musibah serta perkara buruk dapat dijauhkan.

“Ya Allah, lindungilah orang yang saya sayang. Semoga Allah lindungi kita daripada segala jenis musibah,” tulisnya dalam hantaran Instagram Stories.

Biarpun tidak memperincikan perkongsiannya, status pelakon drama Bunga Bunga Syurga itu secara tidak langsung menunjukkan rasa prihatinnya terhadap Akhyar.

Ini susulan kejadian samun yang menimpa tonggak Harimau Malaya itu apabila cedera di kepala dipukul individu tidak dikenali minggu lalu.

Selain mengalami kerugian lebih RM4,800, Akhyar dipukul menggunakan senjata besi boleh laras sehingga terpaksa menerima enam jahitan.

Bahkan Eyka turut memuat naik semula hantaran Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia berkenaan dua ahlinya termasuk rakan baik Akhyar yang juga pemain kebangsaan, Faisal Halim.

Dalam insiden di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya baru-baru ini, Faisal disimbah asid individu tidak dikenali yang mengakibatkannya melecur tahap empat.

Sebagai rekod, hubungan cinta antara Eyka dan Akhyar berlangsung hampir enam tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok