Cakra Khan gegar Panggung Malaya Pop Vol.2 malam ini

BELUM terlambat untuk kaki konsert mengikuti aksi tiga penghibur hebat Malaysia dan Indonesia di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor, malam ini.

Konsert Panggung Malaya Pop Vol.2 yang membariskan Marsha Milan dan Hafiz Suip bersama Cakra Khan menjanjikan kepuasan maksima kepada khalayak.

Berkonsepkan elemen Nusantara, acara gilang-gemilang yang dibawakan Majlis Budaya Lantera Mas tersebut bakal dijangka menggegarkan Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) dengan rangkaian seleksi hits mereka.

Pengarah program, Athirah Nur Izzani berkata, pemilihan penyanyi dilakukan sangat teliti bagi memenuhi kepuasan penonton, sekali gus sebagai penanda aras terhadap kesinambungan daripada edisi terdahulu.

Selepas kejayaan konsert sama tahun lalu kami menjanjikan sebuah lagi acara berprestij yang menampilkan bukan calang-calang penghibur.

“Selain penyanyi seberang yang menjadi penanda aras prestij Panggung Malaya Pop Vol.2 iaitu Cakra Khan, kredibiliti Hafiz serta Marsha juga tidak boleh diragui.

Jadi sudah tentu peminat dapat membayangkan kemeriahan serta momen indah sepanjang konsert itu nanti,” katanya.

TIGA penghibur hebat Malaysia dan Indonesia bergabung mempamerkan persembahan hebat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

Menurut Athirah, penganjuran tahun berkenaan turut menampilkan sentuhan berbeza apabila persembahan bakal diiringi 32 pemuzik berpengalaman.

“Memang banyak keistimewaan ingin kami kongsi termasuk pembabitan pemuzik orkestra yang dibawa terus dari Kuala Lumpur.

Bagi penggemar muzik, pengalaman menikmati dendangan live artis pujaan dengan diiringi alunan muzik orkestra tentu saja menyuntik rasa yang berbeza.

“Ini antara nilai tambah yang ingin disajikan kepada khalayak, sekali gus perkongsian sebuah persembahan istimewa,” ujarnya.

Difahamkan, sebanyak 10 lagu akan dipersembahkan secara siaran langsung daripada Cakra Khan.

Tidak ketinggalan paduan suara antara penyanyi itu bersama Marsha bagi lagu Seluruh Cinta nyanyian asalnya dengan penyanyi terkemuka, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Harga tiket konsert dijual serendah RM188, RM288, RM488 dan RM588.

Tempahan tempat duduk masih boleh dibuat menerusi menerusi lawan sesawang mytiket2u.com.my. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok