Saya juga mendoakan Syafiq – Mimi Lana

SAYA ada minta tolong dia doakan saya di Mekah.”

Demikian pengakuan pelakon tinggi lampai Mimi Lana yang meminta bekas tunangnya, Syafiq Kyle mendoakan kesejahteraan hidupnya ketika aktor itu menunaikan ibadah umrah baru-baru ini.

Mimi Lana atau nama sebenarnya, Mimi Roziana Zainal Abidin, 29, memaklumkan meskipun sudah berpisah dia tidak pernah lupa mendoakan kebahagiaan jejaka yang pernah beraja di hatinya itu.

Alhamdulillah, saya pun ada bercakap dengan dia tolong doakan saya di sana.

“Dia doakan saya dan saya pun selalu mendoakan dia,” katanya dalam sidang akhbar tayangan drama Astro Original berjudul Framed di sini, semalam.

Mimi bagaimanapun enggan mengulas lanjut apabila ditanya mengenai hala tuju hubungannya dengan Syafiq sebaliknya menyerahkan soal jodoh kepada Tuhan.

Saya tak mahu cakap berulang kali benda ini. Nanti ada pula yang kata saya asyik bercakap, jadi tak seronok pula.

“Namun, apa yang saya boleh katakan ini semua kerja Tuhan.

Insya-Allah, saya hanya ‘follow the flow’ (ikut aturan) sahaja,” jelasnya lagi.

Baru-baru ini, Syafiq mengakui menyelitkan perihal hubungannya dengan Mimi dalam doa ketika berada di tanah suci Mekah.

Terdahulu, Mimi dan Syafiq sepatutnya diijabkabulkan pada 18 Ogos tahun lalu dalam majlis pernikahan yang dirancang berlangsung di Janda Baik, Pahang.

Bagaimanapun,  mereka mengejutkan orang ramai apabila bertindak membatalkan hasrat itu seminggu sebelum majlis berlangsung tanpa memberikan sebarang alasan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok