Raya cara Alya Iman, Sophia Albarakbah

SAMA-sama merayakan hari kebesaran, namun setiap insan memiliki interpretasi tersendiri dalam meraikan kemuliaan Syawal selepas sebulan berpuasa.

Ada yang menyambut raya dengan penuh kesempurnaan dan kemeriahan, namun dalam masa sama terdapat golongan bersederhana segala aspek. 

Alya Iman dan Sophia Albarakbah juga begitu.Siapa sangka, dua jelitawan sensasi yang dipertemukan dalam sesi fotografi bagi edisi raya HibGlam baru-baru ini mempunyai pendapat peribadi yang ‘tidak sehaluan’ tentang  raya.

Alya tak suka raya

Jika insan lain berebut-rebut balik raya untuk bertemu ibu bapa, sambutan lebaran Alya pula ‘kosong’ tanpa kelibat manusia penting itu. Selepas pemergian bapanya, Allahyarham Azmil Mustapha pada 2018, manakala ibunya pula meninggal dunia sekitar dua tahun lalu, tiada lagi cahaya Aidilfitri dalam hidup Alya.

JIKA Sophia menjadikan hari raya sebagai percutian bersama keluarga, Alya pula sendirian menyambut raya tanpa ibu bapa dan adik-beradik. – Solekan: Manda Zuhairy & Iqbal Rafael

Sejak detik itu juga, semangat dan keterujaan raya dalam dirinya ‘hilang’ meskipun memiliki ahli keluarga lain untuk menumpang kasih. Dia sebaliknya selesa memenuhkan cuti dengan aktiviti sendiri.

“Saya memang tidak suka menyambut raya selepas babah (panggilan) meninggal dunia, rasa kosong. Kalau dijadualkan bekerja pada hari raya pertama pun saya tidak kisah dan okey sahaja sebenarnya.

“Disebabkan itu saya lebih memilih untuk bercuti atau duduk di rumah ketika sambutan Aidilfitri walaupun masih mempunyai kampung di Ijok, Kuala Selangor.

“Bukan tak mahu pulang ke kampung tetapi nenek saya pun adakalanya tiada di rumah kerana mengikut anak-anak. Dia juga keseorangan selepas kematian datuk,” kongsi pucuk muda berusia 23 tahun itu kepada HibGlam.

Meneruskan perbualan, pemilik nama lengkap Nur Alya Iman Azmil mengakui pernah berasa hampa selepas usaha untuk menyatukan keluarga bagi menghidupkan semula hari lebaran gagal apabila tidak mendapat sambutan adik-beradik yang lain.

SOPHIA tidak pernah membeli baju raya kerana mempunyai tradisi menempah busana rekaan sendiri sejak berusia tujuh tahun lagi.

“Adik-beradik saya pula semua sudah berkahwin dan memiliki kehidupan sendiri serta pulang ke rumah mentua masing-masing. Jadi, memang raya bukan hari yang patut diraikan bagi saya.

“Sebelum ini saya pernah cuba menghimpunkan semua adik-beradik pada hari raya selepas arwah babah sudah tiada tetapi tiada seorang pun yang datang.

“Disebabkan itu, saya putus asa dan memang nekad untuk buat hal sendiri,” luahnya.

Sedar situasi, Alya turut memasang impian untuk memiliki keluarga sendiri suatu hari nanti dan menghidupkan semula semangat raya yang sudah lama mati dalam kamus hidupnya.

“Harapan saya suatu hari nanti untuk ada keluarga sendiri dan hidupkan tradisi raya sendiri. 

“Memang sudah ada niat begitu cuma belum kesampaian lagi,” tutur pelakon Layang-Layang Perkahwinan itu.

Impian raya Sophia

Kesuraman raya Alya bagaimanapun tidak merosakkan emosi penyatuannya bersama Sophia. Tenang di satu sisi berbeza, wanita berusia 30 tahun itu pula seperti kelaziman orang lain yang menyambut raya secara sederhana.

“Aidilfitri merupakan hari kemenangan buat semua orang tetapi kita usahlah lupa kepada golongan yang kurang berkemampuan.

“Jadi, saya raikan raya secara sederhana terutama memikirkan kesengsaraan rakyat Palestin yang sedang bergolak, memang rasa sayu,” ujarnya.

Mengakui semangat rayanya telah ‘mati’ dan terkubur bersama ibu bapa yang yang telah tiada, Alya berharap semuanya akan pulih suatu hari nanti saat dia memiliki keluarga sendiri. – Tatarias: Nana Chah

Kata Sophia, dia tidak pernah menikmati pengalaman kesesakan jalan raya selama berjam-jam lamanya kerana hanya menyambut hari lebaran di Kuala Lumpur (KL).

“Setiap kali raya, saya memang sangat seronok. Raya ibarat ‘percutian’ dengan keluarga walaupun hanya disambut di KL. Rumah sanak-saudara semuanya di sekitar ibu negara dan Selangor, jadi saya tidak melalui momen terkandas di lebuh raya untuk balik kampung,” katanya.

Lantaran latar belakang keluarga ‘orang bandar’, pelakon berdarah kacukan Cina, Arab dan Melayu itu mengimpikan  pengalaman menyambut hari raya dalam suasana kampung satu hari nanti.

“Saya orang bandar dan membesar di KL jadi memang tidak pernah merasai kemanisan Aidilfitri dalam suasana kampung.

“Sangat teringin, satu hari nanti dapatlah rasa pengalaman sebegitu,” tutur pelakon yang popular dengan drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah itu.

Ditanya tentang tradisi sambutan raya, Sophia tidak pernah memakai pakaian warna sedondon bersama keluarga, terutama adik-beradiknya.

Bukan itu sahaja, dia turut menghasilkan rekaan baju raya sendiri sejak berusia tujuh tahun.

“Saya ada empat adik-beradik dan semuanya perempuan, setiap tahun memang kami tak beli baju raya tetapi lukis sendiri rekaan dan tempah.

“Sejak kecil beli kain, pilih manik dan buat rekaan sendiri. Setiap adik-beradik saya ada cita rasa dan warna kegemaran sendiri, kami memang tak pernah sedondon pun,” kongsinya.

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! Online secara fizikal di kedai-kedai berdekatan. 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok