Aina Abdul menangis jadi ‘opening’ konsert Ailee

AMPUH mengukir nama di langit industri muzik tanah air, nama Aina Abdul tidak lagi memerlukan pengenalan panjang.

Berkali-kali diiktiraf di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) baik menerusi lagu mahupun vokal, keampuhan jenama anak seni bertubuh genit itu mustahil diragui.

Bakal membuat persembahan pembukaan konsert buat penyanyi tersohor Korea Selatan, Ailee menerusi I Am: Here di Megastar Arena, Kuala Lumpur pada 22 Jun nanti, pemilik nama sebenar Nurul Aina Abdul Ghani itu bukan sekadar jaguh kampung

Rezeki berterusan

Tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja, Aina menyifatkan tawaran tersebut sebagai penghormatan buat dirinya.

Kata pelantun lagu Imaji itu, tawaran disua ibarat rahmat di sebalik duka buatnya yang ketika itu sedang menghadapi fasa sukar.

JADUAL seni terisi padat, Aina kini sedang berhempas pulas menurunkan berat badan demi menjayakan konsert bersama Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC pada 11 dan 12 Mei depan.

“Ketika dapat berita penganjur berminat memilih saya membuat persembahan tirai konsert Ailee, waktu itu saya berada di titik paling rendah dalam hidup, awal tahun ini.

Saya dalam kesedihan kerana ada perkara yang tidak begitu baik berlaku dalam kerjaya seni. Apabila diberitahu tentang tawaran ini, saya menangis, terharu seperti ada pelangi selepas hujan.

“Tanpa berfikir panjang, saya terus setuju. Syukur orang luar juga dapat melihat dan menilai bakat nyanyian saya, rezeki saya melimpah ruah,” katanya tersenyum.

Ditanya mengenai persiapan menjelang konsert berkenaan, penyanyi bersuara lantang itu bakal melantunkan tiga lagu dengan susunan muzik istimewa.

“Saya akan menyanyikan tiga buah lagu dengan susunan muzik yang segar dan istimewa, lagu apa yang bakal saya dendangkan, itu merupakan kejutan pada malam tersebut. Dinamik vokal juga akan berbeza.

Mengenai penampilan saya pada malam itu pula, saya akan tampil biasa-biasa sahaja kerana itu adalah malam Ailee. Saya mahu meraikannya yang julung kali mengadakan konsert di Kuala Lumpur,” jelasnya.

Tidak sempat berehat, Aina pada masa sama juga sedang sibuk dengan persiapan konsert bersama Malaysian Phiharmonic Orchestra (MPO) yang dijadual berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC pada 11 dan 12 Mei hadapan.

Lantaran itu juga, dia dalam proses menurunkan berat badan memandangkan konsert tersebut menuntut stamina tinggi selain mengakui persembahan kelak mencabar kredibilitinya sebagai penyanyi.

“Saya sasar nak turunkan berat badan banyak lagi menjelang konsert bersama MPO. Saya perlu akui konsert kali ini sangat susah dan mencabar kerana muziknya orkestra penuh dan berat.

BAKAL membuat persembahan pembukaan konsert penyanyi Korea Selatan, Ailee Jun ini, Aina mengakui teruja dan menyifatkan berita gembira tersebut sebagai rahmat pembasuh duka hatinya.

Senarai lagu dinyanyikan nanti juga semuanya bernada tinggi, jadi saya perlukan banyak stamina.

“Kali ini saya mahu betul-betul tonjolkan diri sebagai penyanyi.

“Kalau sebelum ini ramai yang kata saya terlalu berfesyen sampai lupa profesion sebagai penghibur.

“Kali ini, saya mahu pendengar menghayati seorang Aina Abdul sebagai penyanyi,” tuturnya panjang lebar.

Dengan pengaruh dan julangan anugerah diraih, Aina juga dikejar deretan jenama popular termasuk air Spritzer dan tudung Galeri Hajra dengan menjadikannya duta produk.

Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan. 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok