KEBIASAANNYA peminat selalu memandang tinggi keperibadian selebriti Korea sehinggakan ada yang taksub.
Namun, ramai tidak mengetahui sebilangan daripada penghibur negara itu bergelut dengan kesukaran membesar dalam keluarga bermasalah.
Ada juga antara idola ramai itu dibesarkan dalam keluarga bermasalah sehingga menjejaskan kesihatan mental mereka.
Namun, kesulitan hidup bukan kekangan untuk mereka mengejar impian sebagai penyanyi atau pelakon tersohor.
Wheein MAMAMOO
ANGGOTA kumpulan MAMAMOO, Wheein dibesarkan ibunya. Bapanya pula langsung tidak mempedulikan kehidupan mahupun usaha keras Wheein untuk berjaya dalam dunia hiburan.
Keluarga Wheein juga menderita berikutan beban hutang yang tidak masuk akal.
Selepas terkenal, bapanya cuba menghubungi Wheein untuk menyambung kembali hubungan mereka. Wheein bagaimanapun tidak dapat menerima kehadiran semula bapanya.
Dara
SEMASA muda, keluarga bekas penyanyi kumpulan 2NE1, Dara berpindah ke Filipina kerana mengikut bapanya yang membina kerjaya di negara berkenaan.
Dara atau nama sebenarnya Sandara Park memutuskan untuk menyara keluarganya pada usia muda dengan berlakon dan menyanyi di Filipina.
Penyanyi berusia 40 tahun itu meraih pendapatan besar namun bapanya bertindak mengawal kewangannya.
Semua duit simpanan habis kerana bapanya kaki judi. Lebih mengecewakan, bapanya meninggalkan keluarga untuk hidup bersama wanita lain.
Yeeun
YEEUN atau nama sebenarnya Park Ye-eun merupakan bekas anggota kumpulan Wonder Girls yang pernah mencipta fenomena satu ketika dahulu.
Siapa sangka di sebalik kejayaan penyanyi berusia 35 tahun itu, dia menjadi saksi perceraian ibu bapanya sewaktu berusia 12 tahun.
Dia dibesarkan ibu tetapi nama dimanipulasikan bapanya sebagai jalan pintas untuk dikenali penerbit selepas menyatakan hasrat memulakan perniagaan dalam dunia hiburan.
Tidak lama kemudian, ada sumber mendedahkan bapa Yeeun ditangkap kerana melakukan penipuan dan serangan seksual.
Selepas peristiwa tersebut, Yeeun memutuskan hubungan dengan bapanya dan dia perlu menanggung hutang berjumlah AS$18 juta (RM86 juta).
Leeteuk
SAMA seperti selebriti lain, penyanyi Leeteuk juga mempunyai kisah menyayat hati kerana menjadi mangsa penderaan orang tuanya ketika zaman kanak-kanak.
selepas melakukan debut, pemilik nama sebenar Park Jeong-su itu masih berdepan episod hitam disebabkan keluarga.
Pada 2014, datuk dan nenek Leeteuk mati dicekik bapa Leeteuk. Bapanya kemudian membunuh diri dan meninggalkan mesej yang mengganggu mental Leeteuk.
“Kamu percaya semua kejayaan kamu sehingga saat ini adalah usaha kamu sendiri?” tulis bapanya pada sekeping nota. – HIBGLAM