Hafidz Roshdi sedih dihina kerja hantar barang

LAMA tidak muncul menerusi drama televisyen susulan terpalit pelbagai kontroversi rumah tangga, rupa-rupanya pelakon Hafidz Roshdi sudah mempunyai pekerjaan baharu iaitu sebagai penghantar Lalamove.

Gembira dapat terus mencari rezeki halal buat keluarga, Hafidz atau nama lengkapnya Muhammad Hafidz Roshdi, 30, bagaimanapun berasa kesal apabila terdapat segelintir pihak menghina pekerjaannya itu.

“Saya gembira sahaja kerja dengan Lalamove tetapi saya terbaca ada pihak yang menghina kerja saya ini,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram Story.

Dalam hantaran sama, pelakon drama Wanita Milik Tuan Putra itu juga memohon orang ramai mendoakannya dikurniakan kesihatan yang baik supaya dapat bekerja demi menafkahi anak-anak.

“Apa pun doakan saya terus sihat untuk dapat berkhidmat demi pendapatan yang halal dan nafkah anak-anak,” tuturnya.

Terdahulu, bekas isteri Hafidz iaitu Nurul Shuhada Mat Shukri pernah mendedahkan aktor tersebut culas membayar nafkah buat kedua-dua anak mereka iaitu Humairah, 7, dan Umar, 4 tahun.

Kata Shuhada, Hafidz hanya memberi nafkah sebanyak RM100 untuk setiap anak mereka.

Bagaimanapun pada Mac lalu, Shuhada memaklumkan Hafidz sudah pun menaikkan jumlah bayaran nafkan untuk anak mereka sebanyak RM200 sebulan.

Isu kewangan Hafidz terus berlarutan apabila baru-baru ini dia dikatakan tidak memberikan komitmen penuh dam masih culas membayar nafkah anak-anak.

Hafidz mendirikan rumah tangga dengan Shuhada pada 30 April 2016 sebelum bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, 27 Julai tahun lalu.

Hafidz kemudian bernikah dengan wanita pilihannya iaitu Athira Yuhada pada 15 Disember tahun lalu. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok