Farisha Iris tak jadi kahwin hujung tahun ini

HASRAT penyanyi Farisha Iris membina mahligai cinta pada hujung tahun ini berkecai apabila hubungannya dengan kekasih putus di tengah jalan.

Pun begitu, Farisha atau nama sebenarnya Farisha Asmadi, 25, enggan mendedahkan punca hubungan itu berakhir selepas lebih setahun bersama.

“Khabar angin kata saya nak kahwin, itu dah tidak jadi. Sepatutnya perancangan pada hujung tahun ini, tetapi tidak jadi disebabkan beberapa hal tertentu.

“Agak tidak elok untuk saya kongsikan sebabnya kerana tidak mahu aib sesiapa yang terkeluar nanti.

“Namun, kedua-dua belah pihak mengetahui perancangan ini tapi itulah, jodoh kami tak panjang,” katanya kepada HibGlam.

Mengakui terkilan dan sedih namun pelakon Hello itu reda selain menegaskan restu ibu bapa sangat penting dalam sesebuah hubungan apatah lagi untuk mendirikan masjid.

“Saya rasa mungkin dia terlalu baik untuk saya atau mungkin belum masanya untuk berkahwin. Orang kata belum sampai seru. Hubungan saya dan dia masih baik. Saya tidak suka bermusuhan dengan sesiapa.

“Tipu lah kalau cakap saya tidak sedih. Apa pun yang paling penting untuk seseorang itu berkahwin adalah restu daripada kedua-dua orang tua.

“Sebagai contoh, kalau keluarga kata tidak okey bermaksud tidak okey pasangan kita. Saya turuti pandandan keluarga dalam setiap keputusan,” katanya ketika ditemui pada program Celebrate Earth Day with Hariz Hamdan, baru-baru ini.

Serik cinta sering tak menjadi, Farisha kini hanya mahu fokus dengan pengajiannya di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan komunikasi media di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Serik nak bercinta, tu sebab saya nak fokus belajar, tapi risau bila dah dapat ijazah kedoktoran nanti orang tak nak saya.

“Sekarang kalau berdoa saya lebih spesifik supaya jadi kenyataan, yang penting bertanggungjawab sebab saya tak nak makan sebutir nasi sahaja,” katanya.

Sebelum ini, bekas peserta program Big Stage musim ketiga ini ada memuat naik foto sedang membuat tinjauan dewan kahwin dalam Instagram miliknya pada hujung tahun lalu.

Selain itu, Farisha juga pernah digosipkan dengan pelakon Niezam Zaidi, bagaimanapun penyanyi itu menafikan mereka ada hubungan istimewa. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok