CNBLUE menggila, 3 jam berbaloi

KUMPULAN muzik, CNBLUE bukan satu nama asing dalam industri seni  Korea Selatan malah pengaruhnya sudah bertebaran di seluruh pelosok dunia sejak 15 tahun lalu.

Memilih Malaysia sebagai salah satu destinasi konsert jelajah CNBLUENTITY Asia Tour turut menamatkan penantian 10 tahun peminat setia CNBLUE yang menggelar diri mereka sebagai Boice.

Muncul di pentas tepat pukul lapan malam, kumpulan yang dianggotai trio Jung Yong-hwa, Lee Jung-shin dan Kang Min-hyuk itu tampil menggegarkan Mega Star Arena menerusi lagu ‘berhantu’ mereka berjudul I’m A Loner.

Persembahan pembuka kumpulan yang memulakan debut pada 2009 itu diteruskan dengan lagu Love, Intuition dan Hey You, sekali gus melonjakkan adrenalin lebih 5,000 penonton pada malam tersebut.

Yong-hwa selaku vokalis teruja melihat ribuan peminat yang hadir pada malam tersebut malah mengakui sangat merindui Malaysia.

“Malaysia, kami sangat merindui anda semua. Kali terakhir CNBLUE ke sini adalah sekitar 2015, hampir 10 tahun kita tidak berjumpa. 

“Sokongan anda pada malam ini sangat menakjubkan. Kami sangat menghargainya,” katanya yang juga gitaris band tersebut.

CNBLUE belum puas menghiburkan pengikut setia mereka dan berjanji akan kembali lagi ke sini.

Pesona trio tersebut sebagai penghibur jelas terpancar apabila mereka tidak kekok berinteraksi dengan peminat malah beberapa kali mendekati penonton secara spontan di hadapan pentas.

‘Malaysia mantap!’

Momen paling lucu pastinya gelagat mereka apabila cuba belajar beberapa perkataan bahasa Malaysia seperti bagus, mantap, janji dan sayang.

“Malaysia bagus dan mantap! 

“Saya sayang awak semua,” ujar Jung-shin selaku gitaris.

Kejutan buat peminat, persembahan yang sepatutnya berlangsung hanya dua jam dianjak menjadi tiga jam pada malam tersebut.

Sebanyak lebih 20 lagu didendangkan pada malam tersebut menerusi tujuh segmen, antaranya Love Light, Lady, Cinderella, In My Head Can’t Stop dan Winter Again.

Seakan-akan tidak mengenal istilah penat, energi ‘gila’ dan kelincahan Yong-hwa selaku vokalis ibarat nadi bagi setiap persembahan mereka.

“Kami akan kekal muda selama-lamanya.

“Di Korea atau secara realiti umur saya 36 tetapi di atas pentas, saya berusia 20 tahun,” seloroh pelakon drama Sell Your Haunted House itu.

Pada malam tersebut, Yong-hwa juga berjaya membuatkan peminat fanatik mereka menitiskan air mata menerusi lagu Then, Now and Forever sebelum berjanji akan kembali lagi ke Malaysia.

Sementara Min-hyuk yang juga hero drama popular Celebrity mengakui merindui peminatnya di sini malah berharap dapat kembali ke kuala Lumpur sekali lagi.

“Kami harap dan janji akan datang lagi serta dapat beri  energi yang sama.

“Harap bukan selepas 10 tahun lagi,” ujar pemain dram tersebut.

Secara keseluruhan, meskipun konsert berlangsung selama tiga jam, kehebatan Yong-hwa, Jung-shin dan Min-hyuk berjaya mengatasi rasa bosan,  sekali gus melayakkan mereka berdiri dalam liga tersendiri. 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok