‘Tak dapat jadi lelaki di rumah sendiri, dia tunjuk jantan di luar’

PENERBIT dan pengarah, Erma Fatima mengakui fobia menanti respons drama terbaharu terbitan syarikatnya, Lelaki Itu yang bakal menemui khalayak bermula 19 Mac 2024.

Jelas Erma, situasi tersebut berpunca daripada drama Perempuan Itu yang mencetuskan kontroversi ketika disiarkan pada Ramadan tahun lalu.

“Tahun ini ada dua drama terbitan produksi Rumah Karya Citra ditayangkan menerusi TV3 pada bulan puasa dan salah satunya, Lelaki Itu yang juga inspirasi daripada kisah benar.

“Tiap-tiap hari saya berdoa janganlah ada apa-apa kontroversi lagi sebab tak larat nak hadap,” katanya dalam Instagram.

Naskhah arahan bersama Along Kamaludin tersebut dikatakan mengangkat tema berbeza berbanding apa yang pernah disajikan sebelum ini.

“Dalam drama Lelaki Itu, saya petik isu lain yang orang tak pernah buat pun. Tak klise sangatlah tapi ‘taboo’.

“Saya pun seram sejuk masa tulis cerita ini.

“Cuma yang pastinya orang kata, tangan wanita yang menggoncang buaian boleh menggoncang dunia. Tapi buai yang digoncang itu dibeli lelaki, tengok jenislah.

Perempuan Itu pula mengetengahkan isu penyondol yang kini menjadi ‘trend’ sama ada dalam drama mahupun realiti,” ujarnya.

Mengenai Lelaki Itu lagi, produser berpengalaman itu berkata, bukan semua lelaki nakal bahkan di sebalik kenakalan setiap manusia pasti punya kebaikan.

“Bila lelaki buat hal, wanita akan salahkan lelaki saja kan. Contohnya, lelaki ada ‘affair’ (skandal) dengan wanita lain, tak boleh bagi nafkah zahir batin.

Lelaki, kalau dia rasa tak dapat jadi lelaki dalam rumah sendiri, dia akan cari jalan lain nak tunjuk kejantanannya.

“Dalam hal ini, kita perlu menjadi manusia yang bertanggungjawab, tak kira lelaki atau wanita,” ulasnya lagi.

Menurut Erma, drama 30 episod tersebut harus ditonton sebagai pengajaran untuk menunjukkan manusia yang tiada sifat tanggungjawab boleh menghancurkan semua dimiliki.

Naskhah siaran TV3 bermula 19 Mac berkenaan membariskan pelakon-pelakon handalan seperti, Datuk Adi Putra, Che Puan Sarimah Ibrahim, Fazura, Nabila Huda, Aedy Ashraf, Hannah Delisha, Nadia Brian, Sophia Albarakbah dan Fadlan Hazim. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok