La Luna, realiti atau sengaja huru-hara politik seni?

DITAYANGKAN sejak November tahun lalu, namun hanya baru-baru ini naskhah La Luna arahan M. Raihan Halim menjadi cukup ‘popular’.

Kenapa? Semuanya gara-gara kritikan terhadap filem tersebut yang didakwa mengandungi unsur ‘soft porn’ dan mengetengahkan fahaman liberal sekali gus dianggap mempersenda agama.

Semestinya, sudah menjadi lumrah jika ada isu panas apatah melibatkan dunia popular, tiba-tiba sahaja berbondong-bondong ahli akademik, agamawan, selebriti dan netizen memberikan pendapat masing-masing.

Jika tanpa ‘kepanasan’, mungkin ramai tidak tahu kewujudan filem lakonan barisan pelakon hebat, antaranya Shaheizy Sam, Sharifah Amani, Wan Hanafi Su, Hisyam Hamid, Nadiya Nisaa, Nam Ron, Iedil Putra dan Farah Ahmad tersebut.

‘Ustaz tengok, mereka okey’

Mungkin benar ada yang kurang senang dengan filem berkisarkan seorang wanita bernama Hanie membuka kedai pakaian dalam di ceruk kampung.

Namun pelakon utamanya, Shaheizy Sam terbuka dengan setiap pandangan umum. Dia sedar setiap individu mempunyai hak dan pendapat berbeza.

“Hanya Allah SWT sahaja yang tahu niat kita buat sesuatu perkara. Jadi, saya tak mahu beri pandangan sebab saya sudah ada pendirian saya mengapa terima tawaran filem itu,” kata Shaheizy Sam.

Malah, pelakon yang popular dengan filem Adnan Sempit itu juga sempat meminta maklum balas beberapa agamawan berhubung naskhah berkenaan ketika menunaikan umrah baru-baru ini.

“Saya ada borak dengan ustaz di Mekah mengenai filem itu dan mereka sudah tonton, mereka kata okey sahaja.

“Saya tak mahu beri pandangan sebab saya tahu tidak akan diterima oleh orang lain. Jadi, terpulang pada hati bagaimana hendak hukum filem itu,” tuturnya.

Sementara itu, Nam Ron yang memegang watak sebagai Ayob tidak kisah dilabel sebagai pelakon gatal gara-gara melakonkan adegan yang dilihat seperti ‘soft porn’ dalam filem La Luna.

Sekadar cerita

Tegas Nam Ron, memadai hanya dia yang tahu keperibadian sendiri memandangkan Ayob hanyalah watak lakonan dalam filem.

Meski terbuka dengan setiap pendapat orang ramai, pelakon berusia 55 tahun itu tetap menyifatkan tuduhan mempersendakan agama sebagai keterlaluan.

“Mungkin watak yang saya bawakan dalam La Luna buruk di mata sesetengah penonton. Namun bagi diri sendiri, saya berjaya bawakan watak tersebut walaupun orang tidak suka.

“Apa yang boleh saya katakan, kita menonton filem sebagai sebuah filem. Kadang-kadang kita berfikir lebih sangat. Kita fikir filem ini ada agenda tersembunyi dan sebagainya.

“Sedangkan perkara itu (agenda tersembunyi) tidak wujud sama sekali pun. Ketika kita menghasilkan sesebuah naskah, kita tidak terfikir pun untuk membawa sebarang agenda dan sebagainya.

“Sekadar ingin bercerita. Namun, tidak dinafikan adakalanya mungkin ada juga pihak yang tidak dapat menerima. Tetapi, kalau kita lihat hanya dari sudut hiburan, filem ini bercorak komedi saja,” katanya.

Mungkin ada benarnya, bukan semua orang bersedia untuk filem seperti ini di Malaysia. Ada yang melihat seolah-olah cuba menyelitkan fahaman liberal.

Berhati-hati itu tidak salah sebaliknya satu kewajaran. Tinggal lagi, tidak wajarnya bersikap menghentam dan menghukum La Luna tanpa menontonnya terlebih dahulu.

La Luna sebuah naskhah yang cukup baik dan sarat humor, cuma seperti dikatakan tadi mungkin segelintir penonton terlalu berfikir saat menonton filem ini.

Harus diingat jika sesebuah filem memiliki agenda tertentu terutamanya agama penulis yakin sudah tentu karya tersebut tidak sewenang-wenangnya lulus tayangan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok