Bukan dibuang, keluar K-Clique atas pilihan sendiri – Tuju

KELUAR dari K-Clique adalah pilihan saya sendiri, tiada istilah dibuang.”

Itu kata penyanyi Tuju yang menegaskan keputusan bergerak solo adalah atas kehendaknya sendiri namun masih kekal dengan pendirian untuk tidak mendedahkan punca sebenar meninggalkan kumpulan K-Clique sekitar dua tahun lalu.

Pun begitu, Tuju atau nama lengkapnya Mohd Azree Shah Awang Zamree, 28, tidak menafikan wujud salah faham antara mereka namun tiada istilah rajuk sehingga menyebabkannya angkat kaki.

“Perkara ini terlalu peribadi dan sudah lama, saya sendiri pun lupa bagaimana hendak cerita. Biarlah yang lepas itu berlalu.

Ramai kata saya merajuk namun tidak berapa tepat. Memang ada salah faham tetapi kalau hendak cerita lebih baik daripada anggota K-Clique.

“Keluar dari K-Clique adalah pilihan saya sendiri, tiada istilah dibuang. Biarlah apa terjadi sebelum ini saya simpan untuk diri sendiri sahaja,” katanya kepada HibGlam.

Meski hubungan kembali jernih, suami kepada penyanyi Loca B itu bagaimanapun selesa bergerak secara solo tetapi tidak menolak andai ada kolaborasi atau projek istimewa bersama K-Clique selepas ini.

“Saya sudah ‘move on’ dan secara jujur selepas dua tahun apa boleh saya kata tidak mungkin akan kembali bersama KClique.

Saya mendoakan yang terbaik buat perjalanan kerjaya mereka.

“Kalau ada kolaborasi mahupun projek istimewa bersama K-Clique, mengapa tidak kan? Masa hadapan kita tidak tahu,” kata Tuju ketika ditemui pada malam  Risiko Pop Up Show yang menyaksikan kolaborasinya bersama MK serta penyanyi Ghidd, Benzooloo dan Meerfly, malam tadi.

Lagu berjudul Risiko yang dilancarkan pada 22 Februari lalu merupakan kerjasama pertama antara Tuju dan MK yang juga merupakan anggota kumpulan K-Clique.

Terdahulu, tindakan Tuju meninggalkan K-Clique mencetuskan pelbagai spekulasi namun penyanyi rap kelahiran Sabah itu memilih mengunci mulut.

Bukan itu sahaja, kesemua anggota kumpulan terbabit mendakwa sudah lama tidak bertemu Tuju selepas dia menghilangkan diri. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok