Bibik Zarina Zainuddin cabut lari, kebas barang kemas

PELAKON Zarina Zainuddin berang berdepan masalah pembantu rumah melarikan diri buat kali kedua yang mengakibatkannya kerugian ribuan ringgit.

Kata pemilik nama penuh Nur Zarina Mohd. Zainuddin, 54, dalam insiden terbaru, wanita asal Indonesia berusia 25 tahun yang dibantu seorang lelaki asing itu turut merembat barang kemasnya.

“Dia curi diam-diam pun kita tak sedar. Sedar-sedar dah hilang, kita pun menggelabah cari barang-barang kita.

“Dah dua kali agensi ini tipu saya. Kali kedua kerja tak sampai empat bulan dapat gaji cabut,” katanya dalam Instagram.

Dramatis terbabit turut berkongsi paparan gambar pasport pembantunya, selain salinan permit kerja dalam hantaran sama.

Menurut Zarina lagi, kebanyakan pekerja asing yang berani melarikan diri tidak kisah tentang dokumen penting ditinggalkan termasuk dokumen peribadi.

“Mereka ini tak hairan pasport, paling penting telefon ada kat tangan. Kebanyakannya janda dah ada anak, tapi bila kerja dapat kenal lelaki diam-diam ambil nombor telefon.

“Kurang ajar betul, mula-mula merayu nak kerja lepas itu lari dan curi barang kemas kita diam-diam,” luahnya.

Sebagai susulan, selebriti yang juga usahawan makanan itu akan mengajukan laporan polis terhadap agensi berkenaan.

Katanya, tindakan itu dilakukan selepas dia telah berhabis sebanyak RM10,000 bagi menyiapkan permit pekerjaan.

“Saya nak buat repot polis. Agensi ini memang nak kena. Kita dalam proses siapkan permit dia, duit dah habis dekat RM10,000 kemudian cabut lari,” katanya.

Dalam ruangan komen rata-rata netizen menyokong ketegasan Zarina agar tiada lagi individu lain tertipu dengan penipuan seumpama itu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok