4 bintang Korea ada buku sendiri

BERGELAR figura ternama, hakikatnya kehidupan seseorang anak seni itu tidak seindah seperti terlihat di permaidani merah yang bersimbah cahaya glamor. 

Berdepan proses rakaman atau penggambaran panjang, promosi bahkan dalam berkejaran memenuhi sesi tuntutan sesi promosi, mereka sebenarnya terhimpit antara kehendak peribadi, komitmen bersama produksi atau pemilik jenama. Tidak menjadikan semua itu sebagai alasan hidup bagaikan robot, masih ada bintang yang sempat mencuri masa untuk fokus terhadap hobi yang jauh bertentangan dengan kesibukan, seperti  menulis buku. Lebih mengujakan,  buku-buku tulisan anak seni itu laku ‘keras’ di dalam mahupun di luar negara.

Kimchi Panas minggu ini menampilkan beberapa selebriti Korea Selatan yang pernah menerbitkan penulisan mereka dalam bentuk novel dan digilai peminat.

So Ji-sub

SIAPA sahaja tidak mengenali aktor prolifik So Ji-sub, yang menghiasi pelbagai  karya di Korea Selatan baik menerusi drama mahupun filem. 

Dalam pada imejnya yang kelihatan bersahaja dan suka berjenaka, siapa sangka pelakon berusia 46 tahun itu sudah menerbitkan beberapa buah buku yang menjadi rebutan si ulat buku.

Buku yang ditulis merupakan coretan istimewa berserta gabungan foto hasil perjalanannya selama 13 tahun ke wilayah seluruh Korea Selatan terutamanya daerah Gangwon.

Menariknya, sepuluh hari usai naskhah itu diterbitkan, buku tersebut berjaya masuk ke dalam kategori buku bestseller.

Terus mendakap tuah, aktor tampan itu diangkat sebagai ‘Good Will Ambasador’ bagi daerah Gangwon malah pada tahun 2012, pemerintah Gangwon menjadikan nama So Ji-sub sebagai salah satu jalan dalam daerah tersebut.

Eugene

Aktres Kim Yoo-jin atau mesra dipanggil Eugene juga termasuk dalam senarai Kimchi Panas minggu ini

Bekas anggota kumpulan S.E.S itu pernah menerbitkan buku pertamanya pada tahun 2009 berjudul Eugene’s Beauty Secrets, diikuti dengan Eugene’s Get It Beauty pada tahun 2011.

Mendapat sambutan hangat orang ramai, pelakon jelita itu seterusnya menerbitkan buku ketiga berjudul Eugene’s Beauty Recipe pada 2013. 

Minat mendalam dalam penulisan buku selain mendapat permintaan ramai, Eugene menulis terjemahan buku kanak-kanak berjudul The Night World karya asal Mordicai Gerstein ke dalam bahasa Korea.

Eugene mengaku tertarik mengerjakan projek terjemahan tersebut kerana sering membaca buku itu untuk permata hatinya yang sedang membesar.

Koo Hye-sun

BINTANG yang pernah menghiasi drama fenomena Boys Over Flowers pada 2009 itu sentiasa dipuji khalayak dek mutu lakonannya yang menjadi dan berkesan.

Selain digelar pelakon metode, Koo Hye-sun rupanya sangat mahir menulis buku dengan kosa kata dan penggunaan ayat yang bombastik, namun mudah difahami jika dibaca,

Antara beberapa naskhah ditulis aktres berusia 40 tahun itu yang laris dipasaran ialah Tango dan Heart-Shaped Tears. 

Keduanya merupakan novel romantis yang menurut peminat merupakan karya yang terinspirasi daripada kisah cinta yang dialami Hye-sun sendiri. 

Jang Geun-suk

Aktor Jang Geun-suk sememangnya dikenali sebagai salah seorang selebriti versatil.

Memasuki dunia hiburan sejak kecil sebagai model bahkan menguasai tiga bahasa iaitu Korea, Inggeris dan Jepun, kredibiliti jejaka tampan itu selayaknya diteladani.

Bukan itu sahaja, kemahiran jejaka berusia 37 tahun itu dalam bidang kulinari juga memberi ilham kepada dirinya untuk menerbitkan buku kumpulan resepi berjudul Jang Gun Suk: Love Recipes pada tahun 2013. 

Berbekalkan kemahiran menguasai bahasa lain dan segala ilmu di dada, buku tersebut mengandungi 20 resepi menarik ciptaan sendiri dan diterbitkan dalam tiga bahasa.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok