True Detective: Night Country, naskhah penyiasatan sarat ‘plot twist’

LUAR kotak dan tidak klise. Demikian gambaran tepat untuk  garapan segar siri True Detective: Night Country yang menjadi penantian sekian banyak masa oleh pencinta filem bergenre misteri dan penyiasatan selain tular dalam media sosial.

Drama bersiri yang sudah muncul platform HBO itu menonjolkan alur cerita misteri gelap dan berat serta plot menarik yang disifatkan menjangkau standard kebiasaan naskhah genre sama.

Sudah lima tahun sejak siri antologi jenayah itu disiarkan buat kali terakhir, dan musim keempat adalah garapan terbesar yang disuntik saratnya plot twist dan berangkali sengaja ingin meninggalkan tanda tanya dalam kepala penonton. 

Pencipta asal naskhah tersebut, Nic Pizzolatto tidak terlibat dengan naskhah terbaharu kecuali atas kapasiti penerbit eksekutif namun telah digantikan oleh sutradara, Issa Lopez.

Arahan genius pengarah sarat idea itu telah meletakkan satu penanda aras buat drama bersiri bergenre misteri sedemikian yang tertumpu kepada  kehilangan lapan lelaki secara misteri di stesen penyelidikan terpencil di Alaska

Alur penyiasatan mendebarkan

Turut mencurah bakat lakonan, pemenang Anugerah Akademi, Jodie Foster yang memegang watak sebagai Detective Liz Danvers berkata, liang-liuk naskhah terbabit memberinya satu dinamik dalam karier lakonannya.

Menurut Foster, naratif yang dibawa dalam True Detective: Night Country tertumpu kepada misteri berselirat yang perlu dirungkai dengan teliti sekali gus menjadi sebagai elemen utama disokong plot berat yang menjadikan jalan cerita naskhah itu lebih segar.

“Drama bersiri ini bukanlah sekadar naskhah klise  memaparkan hanya  jalan cerita yang boleh diteka penonton, setiap watak dalam naskhah tersebut mempunyai kaitan dan kekuatan masing-masing.

“Ini yang dinamakan dinamik dalam lakonan tambahan pula setiap barisan pelakon perlu berdepan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu,” ujarnya serius.

Begitupun, Foster menyifatkan cabaran cuaca itu sebagai satu anugerah tuhan yang menghidupkan lagi alur cerita dan hubungkait setiap karakter.

“Terdapat naluri kelangsungan hidup yang wujud dalam diri demi menghadapi lumrah alam semula jadi apabila anda tinggal di suatu tempat yang boleh jadi membunuh anda dalam kedinginan.

“Benar untuk hidup di atas Bulatan Artik (Alaska), bila-bila masa sahaja anda bolehmati dibaham kedinginan. 

“Jadi ada penghargaan dan kerendahan hati tentang kehidupan, Alaska menghidupkan alur cerita, apabila kita tinggal di tempat yang sedemikian, kerosakan yang dilakukan manusia terhadap bumi mula terserlah dengan sendirinya,” ujarnya panjang lebar.

Penggalas watak

Dalam pada itu, Kali Reis memegang watak sebagai Evangeline Navarro yang merupakan seorang wanita Dominican dan Orang Asli, yang berpindah ke pekan Ennis di Alaska untuk berkhidmat sebagai pegawai polis

Ujar Kali yang juga peninju profesional itu, meskipun naskhah dan peranan sangat berat, dia mencuba sedaya upaya agar lakonannya hidup dan menjadi selain tidak kelihatan kayu.

“Dari gelanggang tinju ke drama televisyen, saya dapati banyak persamaan.  Pada saya keduanya perlukan disiplin tertinggi. Naskhah ini memang berat  tetapi genrenya sangat dekat dengan saya.

“Berlakon dalam keadaan cuaca tidak menentu juga sangat mencabar, tetapi saya gembira semangat juang barisan pelakon menjadikan perkara tersebut bukan sebagai cabaran tetapi lebih kepada pengalaman manis. 

“Apapun, saya senang bekerja di bawah arahan Issa Lopez dan Jodie Foster kerana mereka terbuka jika saya memberi pendapat atau ‘improvise’ skrip yang diberikan supaya lebih berkesan,” ujarnya.

Ditanya perasaan bergandingan dengan pelakon prolifik dengan deretan anugerah, wanita berusia 38 tahun itu sangat teruja namun dalam masa sama menyimpan perasaan gugup dan gementar.

“Siapa tidak kenal Jodie Foster, lakonannya lebih daripada hebat, memang teruja bekerjasama dengannya tetapi sebagai pendatang baharu, memang saya diselubungi rasa gugup.

“Mujurlah Foster dan barisan pelakon lain banyak memberi tunjuk ajar membuatkan saya berasa selesa dan lebih fleksibel untuk menjayakan setiap tuntutan watak.

“Kalian semua perlu menonton naskhah ini, naratif yang dibawa cukup berbeza dengan yang sebelumnya, kalian pasti tidak menyesal,” ujarnya menutup bicara.

Selain Kali Reis dan Jodie Foster, drama bersiri ini dibintangi Fiona Shaw, Finn Bennett, Isabella Star LaBlanc  dan ramai lagi.

True Detective: Night Country menampilkan enam episod panjang dan sudah mula boleh distrim menerusi platform HBO dan HBO GO sejak 15 Januari lalu.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok