Sibuk, berusia buat Naim Daniel kurang ‘main’ sosial media

“SEBAB dah tua dan sibuk menguruskan kerjaya yang agak padat, tapi saya ada sahaja dalam media sosial”.

Itu punca penyanyi dan pelakon, Naim Daniel yang sebelum ini lantang bersuara dalam media sosial memperlahankan rentak dalam platform tersebut.

Akuinya, kesibukan waktu, selain faktor peningkatan usia menyebabkan dia kini jarang mengupas sebarang isu seperti dulu.

Bagaimanapun, Naim atau nama lengkapnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 27, ketika ditemui HibGlam berkata dia tetap mengikuti perkembangan isu semasa yang berlaku di dalam mahupun luar negara.

“Cuma saya lebih fokuskan pada kerjaya dan mengutamakan apa yang perlu didahulukan. Kesibukan saya menyebabkan saya sampai tiada masa untuk mengupas tentang isu semasa seperti sebelum ini,” ujarnya.

Naim yang ditemui semasa sidang media Pesta Muzik Kuantan Bersama Ungu dan Artis Tanah Air di sini, kelmarin turut memberitahu, 2024 menjadi tahun yang sibuk apabila jadual kerjanya telah pun padat dari awal sehingga ke akhir tahun.

Tahun ini (2024) saya anggap sebagai fasa yang terlalu sibuk kerana boleh dikatakan jadual kerja saya telah pun diisi dari awal hingga ke akhir. Alhamdulillah,” katanya.

Pun begitu, pelantun lagu Purnama itu tetap menzahirkan rasa bimbang dengan peningkatan semula kes jangkitan Covid-19 dan berharap agar kesihatannya sentiasa terjaga.

Harap-harap saya sihat selalu. Risau juga memandangkan kes jangkitan Covid-19 semakin meningkat. Saya pun baru sahaja baik daripada demam.

“Tapi alhamdulillah, saya tidak apa-apa,” katanya.

Terdahulu, Naim pernah dikritik ramai apabila sering mengeluarkan pendapatnya dalam media sosial secara lantang dengan bersuara terhadap apa jua isu yang melanda negara.

Walaupun dikritik, Naim tidak berhasrat untuk berhenti daripada mengeluarkan pendapatnya kerana beranggapan apa yang dilakukan itu sebagai satu tanggungjawab untuk menegur sesuatu yang dianggap tidak betul.

Dalam pada itu, Naim berkata, dia tidak menghalang sebarang kritikan dan sentiasa meraikan perbincangan media sosial dalam kalangan pengikutnya. -HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok