‘Bukan Aman Graseka tiada ‘job’, isteri tak benarkan berlakon’

“KESIAN Aman. Bukan tidak ada tawaran tetapi isteri dia yang tak bagi berlakon. Dia suruh Aman kerja hantar Ninja Van.”

Demikian dakwaan pelakon, Ellie Suriaty berhubung penularan berita aktor, Aman Graseka yang kini dikatakan tidak mempunyai pendapatan sehingga terpaksa meminta bantuan lantaran tiada tawaran berlakon.

Dakwa Ellie atau nama sebenarnya, Ellie Suriaty Omar, 54,  Aman sebenarnya menerima banyak tawaran berlakon namun tidak dibenarkan bekerja dan dikatakan hanya disuruh untuk duduk di kampung sahaja.

Malah dakwa pelakon yang juga pengarah itu, ramai rakan artis cuba menghubungi Aman bagi bertanyakan khabar namun isterinya dikatakan enggan memberi kerjasama dan sering kali memberi alasan yang tidak munasabah.

“Saya telefon banyak kali, tapi tak angkat. Bila nak bercakap dengan Aman, dia cakap line tak okey. Ada yang nak bantu sebab mengenangkan Aman itu kawan tetapi nak bercakap tak boleh, suruh hantar pesanan sahaja.

“Artis lain cakap benda sama, dia nak tahu perkembangan Aman tapi tak dapat bercakap. Cuma minta masukkan duit dalam bank. Isteri dia guna gambar anak-anak sakit. Gambar diulang ulang pada orang lain juga.

“Jadi kami dapat tahu, itu kerja isteri dia. Isteri dia yang menghantar pesanan, menyamar jadi Aman. Kesian Aman,” dakwa Ellie menerusi komen yang ditulis pada gambar yang dimuat naik dalam Instagram.

Terdahulu, penyampai radio, Sharifah Shahirah mendedahkan Aman sedang berada dalam kesempitan wang dan memohon sumbangan daripada rakan-rakan artis untuk membantu kelangsungan hidupnya.

Dalam pada itu, Ellie dalam ruangan komen sama turut mendakwa, isteri Aman pernah memaklumkan suaminya sedang sakit selepas dijangkiti virus namun sering kali bertukar-tukar cerita.

“Dia suruh Aman kerja Ninja Van, hantar bungkusan. Lepas itu, berhenti pula. Dia cakap, Aman sakit sebab ada virus dalam parcel. Entahlah, kita nak bercakap dengan Aman. Macam-macam alasan pula dia bagi.

“Aman pelakon yang bagus. Kerja dengan dia pun mudah, sangat profesional. Isteri dia tak perlu cuak (takut) alahai. Kena bagi Aman terus berlakon, itu mata pencariannya.

“Apa pun, semoga Allah permudahkan urusan Aman sekeluarga. Dia kena ketuai keluarga, bukan isteri dia yang atur-aturkan entah apa apa,” katanya lagi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok