Tutup kes, berhenti bandingkan, jangan berbalah – Alyah

PENYANYI Datin Alyah meminta orang ramai berhenti membuat perbandingan nyanyiannya dengan rakan seperjuangan, Siti Nordiana yang mendendangkan lagu Kisah Hati pada konsert akhir All Stars Gegar Vaganza (GV10) pada Ahad lalu.

Ujarnya, perbandingan tersebut tidak sepatutnya berlaku dan hanya meninggalkan kesan negatif terhadap kedua-dua pihak.

“Saya rakam lagu Kisah Hati ini berulang kali sebab mahu dapatkan yang terbaik. Setiap penyanyi pasti akan lakukan yang terbaik untuk nyanyian mereka, tidak kisahlah lagu sendiri atau milik orang lain.

“Hargailah usaha kami dan harap janganlah membanding-bandingkan kerana hanya kami sahaja tahu bagaimana rasa sakit itu.

“Saya sudah luahkan, jadi kita tutup kes,” ujarnya lagi.

Pemilik nama penuh Noor Hasliah Abu Hassan, 42, itu juga tidak menyangka kehadirannya pada konsert final tersebut ‘disambut’ dengan komen juri yang begitu mengejutkan.

“Saya hadir memang untuk beri sokongan kepada sahabat yang menyanyikan lagu saya.

“Namun dikejutkan dengan situasi yang agak membuatkan saya terkedu, tidak tahu untuk memberi reaksi dan hanya mampu tersenyum,” katanya dalam hantaran Instagram.

Selain terkedu, Alyah juga berharap tiada lagi perbalahan sesama kelab peminat dan berhenti mengecam Siti Nordiana.

Penyanyi juga popular menerusi lagu Sesal Separuh Nyawa turut menjelaskan, tindakannya mengulang siar komen netizen dalam InstaStory sebagai tanda berterima kasih dan penghargaan kepada peminat yang sentiasa menyokong kariernya.

“Saya ulang siar semua yang mesej dan ‘tag’ nama sebab sokongan anda itu buat rasa sebak.

Terima kasih banyak-banyak cuma saya mohon sangat janganlah menjatuhkan sahabat saya dan bergaduh sesama kelab peminat.

“Saya yakin dia sudah berusaha keras hendak beri yang terbaik begitu juga saya,” tuturnya.

Tinjaun HibGlam juga mendapati isteri Ketua Juri GV10 turut meninggalkan komen dalam satu hantaran Instagram Siti Nordiana dengan berkata tidak pernah meletakkan kesalahan berhubung isu yang hangat diperkatakan.

“”Awak sudah buat sehabis baik dan semoga terus maju jaya, yang penting kita sama-sama jaga kesihatan untuk mencari rezeki.

“Ingat satu perkara, saya tidak pernah menyalahkan awak langsung dan kita berdua tak perlu ada dalam isu ini pun,” tuturnya.

Isu perbandingan dua penyanyi berkenaan pula tercetus apabila seorang juri tetap GV10, Hetty Koes Endang berpendapat nyanyian Siti Nordiana bagi lagu Kisah Hati lebih baik daripada penyanyi asal.

Perkara tersebut mengundang amarah dan kecewa khalayak terhadap Hetty. Penyanyi senior Indonesia itu disifatkan tidak profesional kerana mengeluarkan kenyataan yang mencetuskan provokasi.

Pada konsert final yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Siti Nordiana yang menyanyikan lagu Kisah Hati, Kelmarin duet bersama Ifan Seventeen dan Kill This Love (Blackpink) menduduki tangga terakhir iaitu kelapan manakala penyanyi, Jaclyn Victor pula diumumkan sebagai juara GV10. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok