HANYA dalam tempoh dua jam tiket konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza yang bakal berlangsung pada 9 Mac tahun depan habis ditempah, sekali gus membuatkan ramai peminat kecewa.
Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin berkata, pihaknya meminta maaf kepada semua yang tidak mendapat tempat pada persembahan mega solo di Axiata Arena itu nanti.
Alhamdulillah. Terima kasih dari lubuk hati terdalam. Maafkan saya kepada yang tak dapat membelinya
(tiket).
“Saya memahami ada yang terus mencuba dan tidak sempat mendapatkannya.
“Ada rezeki di persembahan yang lain nanti. Doakan saya,” katanya dalam hantaran Instagram, hari ini.
Difahamkan sebaik kaunter maya untuk konsert terbabit dibuka, pembeli berpusu-pusu membuat tempahan sehingga ada yang mengeluh tidak dapat masuk ke laman web terbabit.
Malah, luahan kekecewaan tidak berpeluang menjadi sebahagian daripada penonton di venue acara berkapasiti 15,000 orang itu diluahkan dalam ruangan komen.
Tidak kurang yang meminta Siti menambah penampilan ditunggu-tunggu ramai itu untuk satu malam lagi.
“Elok tinggal 4 minit jadi 55 minit, tak mengapalah saya tunggu konsert Aafiyah (anak Siti) saja,” seloroh seorang netizen.
“Buatlah esktra satu hari lagi, buat malam Sabtu. Tolong pertimbangkan permintaan kami,” tulis peminat lain.
Tiket bagi mengikuti konsert berkenaan dijual pada harga serendah RM129 hingga RM799 di laman web klticket.
Kali terakhir penyanyi nombor satu negara itu mengadakan konsert solo adalah pada 2019 yang berkonsepkan siri jelajah di Kuala Lumpur, Indonesia dan Singapura.
Sebelum itu ada individu mempersoalkan tindakannya menganjurkan konsert ketika Palestin sedang berdepan serangan Israel.
Begitupun, penyanyi berusia 44 tahun itu tidak melatah sebaliknya meminta pihak terbabit melihat semula tujuan Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza diadakan.
“Kena semak semula anjuran siapa dan fungsi yayasan ini untuk bantu saudara kita.Insya-Allah saya sudah fikir segalanya,” katanya.
Terdahulu, Ratu Rock negara, Ella, 56, mencipta sejarah apabila konsertnya, Jilid Akhir Ella Puteri Kota 2.0 diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai konsert penyanyi tempatan pertama yang tiketnya habis terjual dalam tempoh 24 jam – HIBGLAM