Spekulasi kontrak ditamatkan, Kaka belum sedia ulas

TUNGGU nanti, saya memang tak dapat jelaskan sekarang”.

Demikian maklum balas penyanyi Kaka Azraff berhubung spekulasi penamatan kontrak dengan Warner
Music Malaysia yang didakwa disebabkan kelantangannya memperjuangkan isu Palestin.

Penyanyi itu turut menyatakan hanya akan memberikan kenyataan selepas semua perincian berkenaan desas-desus yang tular di media sosial diperoleh.

Minta maaf, saya pun kena dapatkan butiran lengkap hal yang diperkatakan ini,” ujarnya.

Khabar angin berkenaan kontrak penyanyi tersebut dengan syarikat rakaman Warner Music Malaysia tercetus selepas pemilik nama sebenar Nor Atiqa Noor Azraff itu menyelar tindakan kejam Israel terhadap Palestin didedahkan dua akaun Instagram.

Difahamkan, Kaka membalas hantaran di Instagram Story seorang pempengaruh dan pelakon Australia pro-Israel, Nathaniel Buzolic beberapa minggu lalu.

“Kerana Israel adalah orang yang memulakan (perang). Israel mencuri tanah mereka dan kini bertindak seperti mereka mangsa?

“Orang sakit. Hitler sepatutnya membunuh semua Israel!” tulisnya yang kemudian paparan tersebut dimuat naik semula pensohor terbabit dan sebuah lagi akaun penyokong Israel.

Daripada semakan, operasi laman sosial di bawah nama Jew Data Base itu  membongkar identiti individu yang mengecam Isreal.

Pihak berkenaan dilihat menjalankan penyelidikan mengenai latar belakang Kaka sekali gus mendedahkan gambar, butiran peribadi, syarikat dinaunginya iaitu Warner Music Malaysia serta menyebut penyanyi terbabit sebagai anti-Yahudi.

Susulan itu, penyokong tegar Israel mula menyerang Instagram penyanyi berkenaan dalam ruangan komen.

Pada 13 Oktober lalu, syarikat induk, Warner Music Group memuat naik hantaran Instagram yang menyatakan sokongan terhadap Israel selain melabelkan Hamas sebagai pengganas.

Pada masa sama, penyanyi Bukan Hal Aku itu menegaskan akan terus bersuara demi keamanan sejagat terutama mengutuk keganasan Zionis di bumi Gaza yang mengorbankan banyak nyawa. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok