Prihatin nasib Palestin, The Weeknd sumbang RM11.7 juta

PRIHATIN dengan penderitaan rakyat Palestin, penyanyi dan aktivis kemanusiaan, The Weeknd atau nama sebenarnya Abel Tesfaye menyalurkan sumbangan berjumlah RM11.7 juta.

Perkara itu dikongsikan Program Makanan Dunia (WFP), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyatakan dana terbabit digunakan bagi menambah bekalan makanan.

Bersandarkan kenyataan pertubuhan terbabit, bantuan diberikan penerima empat anugerah Grammy itu mampu membiayai keperluan sekitar 173,000 rakyat Palestin bagi tempoh dua minggu.

Sementara itu, Pengarah WFP Timur Tengah, Afrika Utara dan Rantau Eropah Timur, Corinne Fleischer berkata, bantuan bekalan makanan serta keperluan asas sangat diperlukan di Gaza.

Konflik ini mencetuskan malapetaka kemanusiaan di luar jangkaan.

“WFP bekerja sepanjang masa untuk memberikan bantuan di Gaza, namun skala besar diperlukan bagi menangani tahap kelaparan terdesak seperti kita lihat,” kata kenyataan terbabit.

Terdahulu, krisis yang tercetus sejak awal Oktober lalu berpunca daripada pengeboman berterusan tentera Israel sebagai tindakan serangan balas terhadap pejuang Hamas.

“Pasukan kami memerlukan keselamatan serta akses kemanusiaan yang berterusan, selain sokongan penyumbang demi membantu lebih ramai mangsa.

Kami berterima kasih kepada Abel (The Weeknd) untuk sumbangam bermakna buat rakyat Palestin, sekali gus berharap menjadi contoh kepada individu lain,” ujarnya.

Penyanyi asal Toronto, Kanada itu dilantik sebagai Duta Muhibah WFP sejak Oktober 2021 yang menyokong pelbagai misi pertubuhan terbabit.

Sejak itu, dia menyertai pasukan bantuan kelaparan global WFP dengan mengirimkan bantuan makanan ke Ethiopia yang juga negara asal ibu bapanya.

Tahun depan, The Weeknd, 34, merancang untuk menyumbangkan RM4.60 bagi setiap penjualan tiket konsertnya ke Tabung XO Humanitarian.

Konsert jelajah After Hours Til Dawn itu direncanakan akan berlangsung di Australia dan New Zealand pada 2024. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok