Konflik Astana selesai, keputusan SFMM38 hari ini

TIADA lagi pertikaian mengenai siapa yang layak membawakan lagu Astana pada Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-38 (SFMM38) apabila akhirnya penyanyi asal Ernie Zakri mendapatkan peluang itu.

Selepas beberapa hari melalui konflik apabila posisinya diganti Nadeera atas alasan dia bukan lagi di bawah label Rocketfeul Entertainment, kemelut tersebut kini reda.

Di tengah kemelut

Perbincangan antara Rocketfeul dan syarikat rakaman terkini penyanyi itu, Universal Music Malaysia (UMM) menemui penyelesaian sehingga Ernie tampil membawakan Astana yang turut dihasilkan sendiri, semalam.

Pemilik nama lengkap Nur Ernie Shahirah Zakri, 31, itu meluahkan rasa lega apabila dapat menyampaikan dendangan berkenaan di pentas SFMM38.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, sebagai penyanyi asal dan juga komposer bagi lagu Astana, sudah tentu saya sendiri mahu menyanyikan lagu tersebut.

“Mana mungkin tidak, malah saya tidak pernah berkata atau mengeluarkan kenyataan untuk enggan atau menarik diri.

“Selepas melalui proses perbincangan panjang antara semua pihak, selain label UMM sendiri tiada apa-apa halangan,  saya gembira menggalas sendiri tanggungjawab menyanyikan Astana,” ujarnya.

Isteri kepada penyanyi Syamel itu juga tidak ketinggalan menzahirkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan dorongan untuknya mendapatkan hak sebagai penyanyi asal.

Kata putus mengekalkan Ernie beraksi di peringkat separuh akhir adalah hasil perbincangan Rocketfuel dengan selepas mengambil kira pelbagai faktor, selain enggan membiarkan isu ini terus berlarutan.

Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Persatuan Penerbit Malaysia (MPA) bersama Media Prima Berhad selaku penyiar turut menyerahkan perkara terbabit kepada label untuk mencari solusi terbaik.

Berlapang dada

Kecoh apabila lagu Astana ciptaan Ernie bersama Omar K, Syamel dan Shazriq Azeman yang dicalonkan pada SFMM38 tahun ini digantikan penyanyi lain iaitu Nadeera.

Selepas perkara tersebut tular,  peminat mendesak Rocketfuel Entertainment memberi penjelasan, namun pihak terbabit mendakwa Ernie yang memutuskan tidak menyanyikan lagu tersebut dalam SFMM38.

Bagaimanapun, penyanyi itu menegaskan bahawa dia tidak tahu menahu namanya digugurkan ketika pengumuman 30 lagu yang layak ke SFMM38, baru-baru ini.

Kata Ernie, keputusan penukaran penyanyi untuk lagu berkenaan tanpa sebarang makluman seolah-olah tidak menghormati dirinya yang bukan hanya sebagai penyanyi asal tetapi komposer kepada lagu berkenaan.

Luahnya, ketika isu lagu Astana tetap ingin dinyanyikan Nadeera seperti dikehendaki Rocketfeul, dia bersama komposer lain yang terlibat memberi bayangan mahu menarik diri daripada pertandingan terbabit.

Sementara itu, Nadeera atau Farah Nadeera Zaini, 30, mengakui tetap berlapang dada menerima apa jua keputusan sekali pun tidak dapat membawakan Astana seperti yang dipinta pada peringkat awal.

“Saya tidak berkecil hati, bahkan menyokong dan bersetuju Astana dinyanyikan sendiri oleh Ernie, memandangkan lagu tersebut adalah nyanyian dan ciptaannya sendiri,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok