BAKAL menggegarkan Stadium Malawati Shah Alam 16 Disember ini, Wings kini bersiap-siaga dengan sebuah persembahan terbaik sebagai penutup 2023.
Berjanji memberikan yang terbaik pada Konsert Wings The Rock Emperor – Kuala Lumpur Chapter, Datuk Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman berkata, band otai yang turut disertai Eddie, Black, Edrie dan Syam itu kini berada di fasa terakhir untuk memuntahkan energi rock yang sarat dengan kelainan.
Penonton akan dipertontonkan dengan persembahan yang tidak pernah disaksikan peminat Wings sebelum ini. Itu saya boleh janji.
“Senarai lagu yang akan dimainkan nanti, memang lain daripada lain. Kita akan main karya yang jarang didendangkan kepada umum.
Pendek kata, ia kurang dikenali peminat arus perdana, terutama daripada album Naga Keramat. Lagu-lagu macam Jumpa Pusing, Rantau Kebiruan dan Med-Re-Union. Itu peminat ‘hardcore’ Wings boleh jangkakan nanti.
“Kami yakin kalau yang hadir nanti memang betul peminat tegar Wings, tidak menjadi masalah untuk mereka menyanyi bersama pada malam itu,” katanya kepada HibGlam pada sesi bersama media di Ampang, baru-baru ini.
Tidak hanya itu kata Awie, lagu yang biasa didengar peminat juga akan dimainkan bahkan ada segmen tribute untuk band antarabangsa kegemaran Wing seperti Loudness, Scorpion, Deep purple dan Cinderella.
Giat menjalani latihan, pada usia sekarang, Awie mengakui banyak perihal yang perlu digandakan agar dapat mencapai tahap stamina sewajarnya.
Saya dan rakan-rakan sibuk tingkatkan stamina masing-masing. Sebab dah tua (ketawa).
“Saya sendiri dah masuk gimnasium balik, bukan nak buat badan semata-mata tetapi untuk dapatkan stamina. Energi sekarang bukan macam dahulu tapi kami akan melakukan yang terbaik,” jelas Awie yang turut memaklumkan ada banyak lagi kejutan pada malam itu termasuk agenda berbentuk solidariti buat rakyat Palestin.
Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.