NAMA Hafiz Suip yang pernah menggondol trofi Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) selama empat edisi tidak perlu diperkenalkan lagi.
Bakat besar yang dimilikinya membawa kerjaya seni anak kelahiran Kuching, Sarawak itu ke puncak tertinggi bahkan sehingga sekarang.
Deretan lagu-lagu nyanyiannya cukup popular ditambah dengan keunikan vokalnya sehingga menjadi antara penghibur dalam kategori kelas A.
Selepas lebih dua tahun menyepi daripada sebarang produk baharu, kini penyanyi berusia 33 tahun itu bersedia untuk kembali menghangatkan industri muzik tanah air menerusi single terbaharunya berjudul Terus Bersinar.
Diterbitkan oleh syarikat rakaman Nova Music, Terus Bersinar merupakan sebuah karya yang digubah oleh komposer, Mas Dewangga dan Jova Devito, manakala liriknya hasil nukilan Datuk Arisz Ab. Rahmah JP, Mas Dewangga dan Jova Devito.
Masih mengekalkan lagu bergenre balada, Terus Bersinar terkandung mesej yang cukup indah tentang seorang anak terhadap pengorbanan ibu bapanya.
“Sepanjang kerjaya, saya sudah merakamkan lagu yang menceritakan mengenai lumrah kehidupan yang dilalui setiap orang.
“Contohnya lirik lagu Matahari tentang adik-beradik. Lagu Awan Nano pula tentang pengorbanan seorang ayah, manakala lagu Kisah Cinta Kita tentang kasih sayang suami isteri.
“Jadi untuk lagu Terus Bersinar pula, mesej yang disampaikan adalah tentang anak. Boleh dikatakan, dalam setiap lagu saya ada mesej dan jalan cerita tersendiri,” ujarnya.
Berkongsi lanjut tentang Terus Bersinar, Hafiz berkata, dia jatuh cinta terhadap lagu tersebut ketika kali pertama mendengarkan melodinya.
Menariknya, Terus Bersinar turut menyelitkan sedikit elemen tradisional dengan sentuhan alat muzik tradisional Sarawak iaitu sape, pada penghujung lagu tersebut.
Ketika pemilihan lagu dibuat, selepas mendengarkan lagu ini buat kali pertama, terus saya jatuh cinta dan tertarik dengan melodi dan lirik lagu tersebut.
“Itu yang membuat saya terus bersetuju untuk merakamkan single ini. Kalau baca setiap bait lirik Terus Bersinar, memang sesuai lagu ini ditafsirkan tentang seorang anak.
“Saya percaya lagu ini akan mendapat tempat di hati pendengar. Begitu juga dengan video muzik (MV) yang mana, menceritakan tentang pengorbanan tentang ibu bapa membesarkan anak dari kecil hingga dewasa,” jelas Hafiz.
Mengenai kerjasama dengan Mas Dewangga, Hafiz bertuah kerana dapat merakamkan lagu ciptaan komposer yang kian meningkat naik itu dengan sentuhan lagu balada yang mampu menarik perhatian pencinta muzik tanah air.
“Mas Dewangga seorang komposer yang bagus. Bila saya dengar karya yang dia hasilkan, semuanya segar dan terkini.
“Lagu balada yang dihasilkan diberi sentuhan yang membuatkan lagu itu bertambah sedap didengar. Macam sekarang, peminat suka dengan lagu-lagu balada dari Indonesia.
“Apa saya perasan, karya Mas Dewangga pun ada sentuhan ke arah itu (muzik Indonesia). Kebetulan saya pun suka,” katanya.
Lagu Terus Bersinar yang turut dipilih menjadi lagu tema drama, Surat Dari Tuhan dilancarkan pada hari sama tarikh siaran drama tersebut pada 30 Oktober lalu.
Video muzik rasmi single tersebut juga boleh mula ditonton pada hari yang sama jam 3 petang dalam saluran YouTube, Nova Music Videos. – HIBGLAM