KONSERT Bollywood Stars On Fire yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 1 Disember ini ditangguhkan ke tarikh yang akan diumumkan.
Pengumuman mengenai penundaan konsert itu dimaklumkan penganjurnya, Yess Boss Groups menerusi akaun rasmi Facebook syarikat terbabit.
Menurut Yess Boss Groups, konsert yang menampilkan aktor tersohor Hrithik Roshan sebagai bintang Bollywood utama itu terpaksa ditangguhkan atas sebab yang tidak dapat dielakkan.
“Keputusan untuk menangguhkan konsert ini mendapat persetujuan antara penganjur iaitu Yess Boss Groups, Heart Art Entertainment dan Dembi Productions dengan pertimbangan sewajarnya.
“Kami juga sedang berusaha untuk mendapatkan tarikh baharu menerusi perbincangan bersama barisan artis yang terlibat,” tulis kenyataan tersebut.
Selain Hrithik, konsert Bollywood Stars On Fire juga bakal dijayakan pelakon, penari dan kareografer legenda, Prabhudeva yang turut dikenali sebagai Michael Jackson India.
Antara bintang lain adalah pasangan sensasi, Bharti Singh dan Harsh Limbachiyaa sebagai pembuka acara serta kemunculan tiga diva Bollywood, Aastha Gills, Vaani Kapoor dan Sanya Malhotra.
Menurut kenyataan sama, sebarang pertanyaan atau urusan pengembalian wang tiket boleh dikemukakan ke [email protected]. – HIBGLAM