PENCAPAIAN penyanyi kelahiran Kuching Sarawak, Hafiz Suip dalam industri seni tanah air cukup membanggakan.
Selama tiga tahun berturut-turut, pemilik nama sebenar Mohd Hafiz Mohd Suip itu berjaya membawa pulang trofi Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu menerusi impak tiga buah dendangannya, Noktah Cinta (AJL25), Awan Nano (AJL26) dan Ku Akui (AJL27).
Selang beberapa tahun kemudian, Hafiz kembali merampas takhta apabila sekali lagi membawa pulang trofi Vokal Terbaik AJL menerusi lagu Kisah Cinta Kita (AJL34).
Selepas AJL34, kehangatan Hafiz semakin hilang. Cuma sesekali namanya ditulis media, itu pun dek perubahan fizikalnya yang semakin kurus sehingga menimbulkan tanda tanya.
Peluang HibGlam bertentang mata dengan pemilik nama lengkap Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 33, baru-baru ini membongkar kisah yang dialaminya sepanjang tempoh menghilang.
Hafiz mengakui ketika dalam fasa menyepi, dia sebenarnya sedang ‘berperang’ dengan perasaan sendiri sehingga membuatkan hidupnya berkecamuk.
Malah, disebabkan rasa kecewa Hafiz pernah hilang semangat untuk meneruskan kerjaya nyanyian yang telah diceburinya sejak 15 tahun lalu.
“Sejujurnya saya pernah berada dalam satu fasa ‘terduduk’ mungkin disebabkan faktor usia. Kepala saya semakin botak, manakala stamina pula tidak lagi sekuat ketika zaman remaja.
“Nyanyi dua tiga lagu pun dah naik mengah. Benda-benda begitu membuatkan saya terkesan. Pada masa sama industri kita dibanjiri dengan pendatang baharu yang bersilih ganti.
“Tapi saya percaya, kehidupan ini umpama roda. Ada masa kita di atas, ada masa di bawah. Cuma kita kena percaya dengan perancangan Allah,” jelasnya.
Cuba bangkit dengan semangat juang baharu, Hafiz tekad untuk terus melangkah demi memperjuangkan kerjaya seni yang terbina daripada darah dan air mata.
Terbaharu, Hafiz kembali dengan single baharu berjudul Terus Bersinar cipataan ciptaan komposer Mas Dewangga dan Jova Devito.
Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.