Saling percaya kunci bahagia Sweet Qismina, Adam Lee

BAKAL menyambut ulang tahun perkahwinan yang pertama pada 24 Oktober ini, pasangan romantik Sweet Qismina dan Adam Lee tidak putus menzahirkan rasa syukur disatukan sebagai suami isteri.

Hari-hari yang dilalui dirasakan cukup bahagia, saling melengkapi dan sarat dengan kasih sayang tidak bertepi.

Kunci bahagia pasangan itu cuma satu, iaitu saling mempercayai antara satu sama lain. Baik Sweet mahu pun Adam, kedua-dua mereka cuba mengelak daripada membentuk rasa cemburu, lebih-lebih lagi sewaktu dalam lapangan kerja.

Sweet Qismina atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap suami. Begitu juga sebaliknya.

Kata Sweet, dia percaya bahawa suaminya itu tidak akan terpalit dengan kontroversi ‘cinta lokasi’ seperti yang pernah hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini dalam industri seni hiburan.

“Saya mengenali suami sebelum kami masih belum bercinta lagi dan tahu tentang sikapnya ketika bekerja.

“Kami kenal pun ketika di lokasi penggambaran. Jadi saya tahu karakternya bagaimana. Mengenali Adam, dia seorang yang sangat fokus pada kerja. Dapat sahaja skrip, dia akan buat homework. Itu sahaja,” ujar wanita bertubuh genit itu.

Bukan niat mahu ‘melambung tinggi’ suami sendiri, aktres berusia 26 tahun itu turut bersyukur kerana suaminya juga bersikap jujur (telus) dan akan memberitahu kegiatannya pada setiap hari.

“Setiap hari dia akan beritahu kegiatannya apa yang berlaku.

“Sebab itu saya percayakan suami dan tidak pernah terfikir dia akan buat perangai untuk ‘menggatal’ di set penggambaran,” kata Sweet.

Adam pula memberitahu, dia sedaya upaya akan cuba untuk menjaga nama keluarga sebaik mungkin daripada melakukan perkara yang tidak sepatutnya.

“Saya cuba untuk menjaga keluarga sebaik mungkin. Saya dengan dunia saya sahaja. Main sukan Muay Thai, bersenam dan berlakon,” katanya sambil meninggalkan senyuman paling manis buat permaisuri hatinya saat diwawancara.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok