Deane’s Dynasty londeh kisah bintang popular Thailand

KISAH di sebalik dunia glamor pasangan selebriti terkenal Thailand, Lydia dan Matthew Deane didokumentasikan dalam bentuk program realiti terbitan HBO berjudul Deane’s Dynasty.

Mula ditayangkan sejak 6 Oktober lalu, Deane’s Dynasty merangkumkan pelbagai elemen dramatik termasuk persahabatan, dan kekeluargaan serta kepercayaan antara famili.

Lapan episod terbitan HBO Asia Originals’ tersebut mendedahkan secara eksklusif kehidupan penuh glamor penyanyi dan pelakon, Lydia Sarunrat Deane bersama suaminya, Metthew Deane yang juga seorang pengacara televisyen dan pelakon.

Metthew dan Lydia terbuka berkongsi kisah peribadi untuk tontonan umum menerusi program realiti berkisar mengenai keluarga sendiri. 

Menurut Matthew, mereka bersedia dengan segala pandangan audiens apabila kisah mereka ‘dibogelkan’ buat tatapan umum.

“Kami bersedia apa juga pandangan penonton. Pada saya, apa yang kami tonjolkan ini sama sahaja seperti yang kami kongsi dalam media sosial.

“Bezanya Deane’s Dynasty lebih menarik dan menonjolkan karakter atau sisi lain kami di rumah. Penonton akan dalami lebih dekat dan tahu cara kami menghadapi sesuatu perkara,” katanya.

Dalam pada itu, Lydia mengakui keputusan untuk menerima tawaran ini disokong oleh keluarga terdekat mereka.

Menurutnya, keluarga sendiri juga berasa teruja dan membantu dalam membuat persiapan supaya program realiti tersebut menjadi lebih menarik.

“Pada awalnya, memang ada rasa bimbang dengan persetujuan ahli keluarga lain. Tapi selepas kami bertanya dan mempertimbangkan banyak perkara, mereka semua teruja dan mahu mengambil bahagian.

“Itu membuatkan kami tidak fikir panjang dan meneruskan sahaja projek ini,” ujarnya.

 

Berkongsi pengalaman menarik sepanjang menjalani penggambaran tersebut, Lydia mengakui banyak momen ‘telus’ dirakam tanpa memikirkan ada kamera yang merakam.

“Penggambaran program ini berbeza dengan penggambaran drama kerana kami tidak rasa sedang dirakam.

“Kami seperti lupa sedang bekerja kerana apa yang kami lakukan bukan lakonan sebaliknya aktiviti kehidupan sebenar,” ujarnya lagi.

Lydia turut meminta penonton untuk menyaksikan program tersebut sebagai sebuah hiburan semata-mata tanpa terlalu mencari kesilapan mana-mana pihak.

“Kami juga hidup seperti orang biasa. Setiap keluarga ada ceritanya.

Deane’s Dynasty turut menampilkan personaliti terkenal, Ploy Chermarn dan Aerin Yuktadatta. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok