Butterfingers balas dendam

SEPANJANG menyaksikan Konsert Malayneum 23 yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, baru-baru ini, masa seolah-olah berundur ke fasa gemilang era milenium iaitu sekitar 2000.

Kelompok peminat dalam kalangan usia lewat 30-an yang hadir pada malam tersebut membuktikan muzik yang diperjuangkan kumpulan itu masih ‘bernyawa’ sehingga hari ini.

Masakan tidak, Stadium Malawati pada malam itu dibanjiri dengan lebih 6,000 penonton yang benar-benar merindui ‘kegilaan’ Butterfingers yang dianggotai Emmet selaku vokalis, Loque (Gitaris), Loko (dram) dan Kadak (bass).

Sebelum panggung bergema dengan muzik band, terdengar suara-suara peminat mengkritik ketukan dram yang dirasakan ‘pecah’.

Ketukan dram pada awalnya adalah simbolik kemunculan Butterfingers ke pentas menghiburkan peminat selama tiga jam.

Ketika itu, rata-rata peminat yang hadir sudah bersiap dengan telefon dengan mood kamera tersedia agar tidak terlepas momen terindah bersama kumpulan yang ditubuhkan sejak 1993 itu.

Tidak mengambil masa lama, tepat pukul 9 malam, Emmet atau nama penuhnya Emmet Roslan Ishak memanaskan gelanggang dengan nyanyian penuh bertenaga menerusi lagu Malayneum yang dipetik daripada album studio keempat mereka.

TIGA jam beraksi, vokalis Butterfingers, Emmet langsung tidak menunjukkan tanda-tanda penat sepanjang konsert berlangsung.

Berbaki 25 buah lagu yang bakal dipersembahkan, Butterfingers meneruskan momentum dengan paduan vokal padu ditunjukkan Emmet.

Meski sudah lama tidak beraksi di pentas mega, vokalis berusia 46 tahun itu menunjukkan tenaga jitu tatkala menyampaikan lagu No One Else, Antidotes dan State Of Abbysmal.

Band rock grunge itu kemudian meneruskan persembahan dengan lagu Ugly, Faculties dan Floating In A Vacuum.

Berseronok dengan persembahan, Loque atau nama asalnya Khairil Ridzwan Annuar mengakui seperti kembali merentasi masa lalu bersama-sama peminat sepanjang mempersembahkan konsert.

“Semua orang di sini melalui mesin masa bersama kami. Ada muka baharu dan juga lama.

“Mungkin ketika kami keluarkan album ini, ada yang belum lahir. Apa-apa pun terima kasih semua yang sudi hadir, pesan Loque sebelum mempersembahkan beberapa karya berjudul Mating Season, Pretty Rain dan Royal Jelly.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok