Konsert Malayneum 23 medan Butterfingers balas dendam

MENGAMBIL ikhtibar insiden empat tahun lalu, Butterfingers semakin peka menjaga kesihatan sebagai persediaan menjayakan persembahan mega pada 7 Oktober ini.

Pemain gitar, LoQue atau Khairil Ridzwan Annuar berkata, mereka giat bersenam selain selektif memilih menu bagi mengekalkan stamina demi Konsert Malayneum 23 di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor nanti.

“Kejadian Kadak (anggota kumpulan) sesak nafas pada konsert terakhir kami di lokasi sama sekitar 2019 menjadi peringatan supaya mengutamakan kesihatan selain perbanyakkan latihan.

“Menjelang hari konsert pula, kami giat bersenaman, jaga diet dan tidak mengambil gula berlebihan kerana kita nak stamina yang konsisten sepanjang beraksi.

“Apa pun kami mahu buat sehabis baik. Kita hanya mampu merancang dan diharap peristiwa lalu tidak akan berulang. Doakan kami,” katanya pada sidang media konsert tersebut baru-baru ini.

Mengimbas semula insiden empat tahun lalu yang disaksikan kira-kira 8,000 penonton, persembahan terpaksa dihentikan seketika berikutan situasi cemas Kadak tiba-tiba sesak nafas.

Begitupun, konsert berkenaan tetap meraih pujian apabila Butterfingers mengekalkan prestasi cemerlang di atas pentas meski tanpa pemain bass.

BUTTERFINGERS akan pastikan kejadian pada konsert empat tahun lalu tidak berulang kali ini.

Selain LoQue dan Kadak, band yang ditubuhkan pada tahun 1993 itu turut ditunjangi Emmet selaku vokalis serta Loko (dram dan perkusi).

Mengulas lanjut mengenai konsert Malayneum 23, Emmet berkata sepanjang tiga jam berlansung, penonton akan dihiburkan dengan lebih 20 lagu terutama daripada album Malayneum yang diterbitkan sekitar 2001.

Umpama aksi balas dendam, pada persembahan itu nanti mereka mahu penonton dan peminat tegar Butterfingers pulang dengan senyuman puas.

Malah, mereka turut berjanji mendendangkan seleksi yang jarang diperdengarkan di pentas dari album sulung hingga terkini bagi memenuhi permintaan khalayak.

“Hakikatnya bukan mudah memilih repertoire persembahan memandangkan Butterfingers mempunyai katalog lagu yang  agak banyak. Apa pun, kami akan pastikan peminat berpuas hati dan terhibur menyaksikan persembahan tanpa henti dalam konsert itu nanti,” kata Emmet.

KONSERT Malayneum 23 hadiah istimewa Butterfingers buat pengikut tegar mereka.

Teruja dapat kembali ke gelanggang gah itu, Butterfingers yang pernah digelar Nirvana Malaysia menganggap Stadium Malawati punya nilai sentimental.

“Malayneum diangkat sebagai nama konsert bagi memperingati dua dekad kewujudan album itu

“Konsert empat tahun lalu di Stadium Melawati adalah sempena album ketiga kami iaitu Transcendence, jadi kami putuskan untuk kembali ke lokasi nostalgia ini.

“Pada 2001, kami ligat menghasilkan album demi album selepas debut dengan buah tangan berjudul 1.2 Miligram. Ketika album Transcendence belum selesai menempa nama di arus perdana, kami terbitkan pula buah tangan keempat iaitu Malayneum dengan suntikan bunyian berbeza daripada naskhah terdahulu yang lain,” kata LoQue lagi.

Berikutan Malayneum dianggap ‘setengah masak’ kerana pada ketika itu mereka tidak dapat bermain secara langsung, Konsert Malayneum 23 didedikasikan dengan lagu dari album tersebut yang akan diterjamahkan dalam perspektif dan di era berbeza.

Tiket menonton konsert itu yang dijual pada harga RM99 (kategori Ginseng) sehingga RM499 (Malayneum Deluxe) sudah hampir licin disambar pencinta Butterfingers. Mereka yang berminat boleh mendapatkkannya di sini.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok